Kecergasan merangkumi pelbagai aspek yang berkaitan dengan fungsi fisiologi dan psikologi, dipercayai membuatkan seseorang individu itu bebas dari pelbagai penyakit juga masalah kegemukan. Setiap dari kita haruslah sentiasa meningkatkan tahap kecergasan fizikal sehingga ke tahap maksimum agar kekal cergas sepanjang hari, itulah yang diamalkan oleh penghias ruangan Fit Lokal bulan ini, Edison Chua, seorang pelajar juga model kecergasan yang sangat menitikberatkan elemen kecergasan dalam dirinya agar kekal berkeyakinan dan sihat sepanjang hari.
SERBA SEDIKIT MENGENAI EDISON CHUA?
Merupakan Pelajar jurusan Perbankan di Universiti Taylor’s Kuala Lumpur,berusia 23 tahun, berdarah campuran Cina dan Kadazan serta pernah memenangi pertandingan ‘Sabah Model Of The Year 2016’. Kini saya sedang berjinak-jinak di dalam dunia peragaan dan akan lebih serius untuk menggapai cita-cita tersebut.
TRANSFORMASI FIZIKAL YANG ANDA LALUI?
Ads
Saya perlu memahami diri saya sendiri terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu rencana transisi fizikal. Mula menanam iltizam sejak usia 19 tahun lagi, saya berjinak-jinak dengan gimnasium untuk mula membina otot badan. Mengambil masa sekitar dua tahun sahaja saya kian mulai rasa akan perubahan, dahulu saya seorang yang sangat kurus, berkat usaha dan kegigihan saya berjaya memiliki bentuk badan seperti hari ini.
Buat anda yang sekadar mahu menurunkan berat badan, anda harus benar-benar mengubah plan diet harian, kerap melakukan senaman dan kekal dengan disiplin. Jika mahu mendapatkan struktur badan yang menarik, gandakan usaha dan lebih fokus pada bahagian badan tertentu untuk mendapatkan bentuk yang anda inginkan, kira kalori makanan serta jangan sesekali berputus asa!
MENU HARIAN ANDA?
Saya kurang mengambil makanan yang berminyak juga tidak lagi menyentuh makanan tidak sihat seperti makanan segera, jika boleh elak saya cuba elakkan. Setiap apa yang kita makan akan memberi kesan. Setiap pagi saya hanya mengambil menu seperti roti dan susu segar, tengah hari sesuatu yang mempunyai protein tinggi dan malam saya akan cuba menikmati hidangan yang tidak terlalu berat untuk di hadam selain amalkan senaman lima kali dalam seminggu untuk memastikan tubuh kita imun dengan latihan setiap hari.
Ads
GYM BUDDY ATAU SENDIRI?
Keduanya memberi kesan positif untuk anda yang baru berjinak-jinak ke dalam dunia kecergasan. Bila anda aktif di gimnasium sambil dibantu rakan ketika melakukan senaman, latihan anda akan menjadi lebih mudah dan ringan di samping mempunyai teman untuk sama-sama bersaing membentuk tubuh dan prestasi kekal di momentum yang tinggi, berbeza dengan melakukan latihan secara sendiri, segala-galanya anda lakukan seorang diri dan hasilkan anda juga yang perolehi sendiri, mungkin sedikit membosankan tetapi jika diberi pilihan saya lebih suka melakukan latihan secara individu kerana saya boleh fokus dengan latihan dan terus pulang tanpa perlu berborak panjang bersama teman.
Ya, saya akui saya dahulu pernah obsesi dengan senaman sehingga tiada masa untuk diri sendiri dan rakan-rakan, kini saya sudah mulai sedar bahawa bersenam dan masa bersosial itu sangat penting. Harus bijak mencuri masa untuk terus kekal sihat, tidak semestinya anda perlu kerap ke gimnasium, apa salahnya sesekali beriadah bersama teman dan keluarga asalkan tetap melakukan aktiviti sihat dan cergas.
BAHAGIAN PALING MENARIK DI TUBUH ANDA?
Ads
Saya rasa adalah bahagian dada, walaupun six pack adalah elemen paling sukar untuk dibentuk, tetapi dada membuatkan seorang lelaki itu nampak seksi dan bidang ketika menyarungkan pakaian. Itu adalah bahagian tubuh yang sangat saya hargai.
TIP UNTUK KEKAL SIHAT TANPA ADA MASALAH KEGEMUKAN?
Cuba elak makan lewat malam, amalkan corak pemakanan yang sihat dengan pengambilan setiap menu harian sebelum jam 8 malam. Setiap makanan yang kita ambil itu sekurangnya memerlukan 4 jam untuk dicerna, jika ia tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik ia akan bertukar menjadi lemak. Kerap lakukan senaman sekurangnya tiga kali seminggu untuk permulaan, jangan lupa bersarapan setiap pagi dan kekal mengambil gizi seimbang dengan pengambilan banyak buah-buahan dan air untuk mudah lawas dan akhir sekali pastikan anda cukup tidur kerana badan kita perlu rehat yang mencukupi.
ELAK JALAN MUDAH
Saya percaya, ramai di kalangan anak muda yang mahu cepat memiliki bentuk badan menarik secara singkat dengan mengambil bahan terlarang, saya sekerasnya menolak perkara ini. Amalkan corak latihan beban yang selamat dan sentiasa taman di dalam fikiran tiada perkara di dunia ini yang boleh dapat dengan sekelip mata, bersabar dan elak dari terjebak dengan perkara sedemikian. Steroid khususnya memberi lebih kesan negatif dari sebaliknya, ingat kita bersenam untuk sihat, bukan mahu menyakitkan lagi tubuh kita. Di antara kesan buruk steroid yang akan anda alami jika terus mengambilnya tanpa nasihat pakar, tubuh akan berjerawat, cepat marah, imunisasi menjadi lemah serta kemurungan. Jadi, amalkan corak senaman yang sihat dan kekal cergas setiap hari kerana kita memerlukan tubuh yang sihat ini untuk tempoh masa yang lama, jangan persiakan nikmat yang diberikan tuhan hanya kerana terlalu obses untuk cantik dan pujian masyarakat.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Dengan wajah yang sering mengukir senyuman seakan memberi gambaran bahawa pelakon Hariz Hamdan merupakan seorang yang penyabar dan sukar untuk melihatnya marah.
Bagaimanapun, perawatakan sedemikian rupanya memberi kesan kepada Hariz Hamdan di dalam dunia lakonan.
Pelakon kelahiran pertandingan Hero Remaja itu mengakui yang sukar baginya untuk melakonkan watak seorang yang panas baran tatkala dirinya tidak bersikap sebegitu di dunia nyata.
Bahkan, dia akan diserang migrain setiap kali menjiwai watak demikian.
@maskulinmyDalam drama bersiri X-Change, Hariz Hamdan perlu membawa watak seorang yang pemarah. Menyifatkan sifat itu berbeza dengan perwatakan dirinya yang sebenar, Hariz akui sering diserang migrain setiap kali menjiwai watak berkenaan. #AstroOriginals #XChange #harizhamdan #Maskulin #majalahmaskulin♬ original sound – Maskulin
Menerusi drama bersiri Astro Originals yang berjudul X-Change, Hariz memainkan watak sebagai Qabil iaitu seorang jejaka muda yang panas baran dan kerap marah.
“Qabil ini jenis yang panas baran. Jadi bila Hariz mainkan watak yang panas baran, babak yang kena marah-marah, Hariz mesti dapat migrain selepas itu,” ujranya kepada Maskulin.
Tambahnya, tenaganya untuk meneruskan lakonan dengan sehabis baik juga akan terjejas setiap kali diserang migrain.
“Walaupun migrain, Hariz masih mahu memastikan yang Qabil punya watak itu hidup”.
Ditanya berapa kerap dia diserang migrain, Hariz menjawab yang dia mengalaminya hampir setiap hari sepanjang proses penggambaran drama bersiri itu.
“Sebab hari-hari dia marah sahaja. Kalau ada babak marah sahaja, mesti migrain masalahnya,” kata Hariz lagi.
Tiru Lakonan Rosyam Nor
Yang lebih menarik, perwatakan Qabil di dalam naskah berkenaan dicipta mempunyai banyak persamaan dengan watak Yakub yang dimainkan oleh Datuk Rosyam Nor.
“Pengarah kami, Abang Labu beritahu saya yang Qabil punya perwatakan secara asasnya tiru Abang Rosyam Nor,” kongsinya.
Di dalam drama bersiri X-Change, Yakob merupakan ayah kepada Qabil.
Sebagai anak sulung kepada Yakub, Qabil menyimpan hasrat untuk menjadi seperti ayahnya.
“Sebab itu dia (Qabil) marah macam Yakob,” jelas Hariz kepada MASKULIN lagi.
Oleh itu, Hariz mengambil pendekatan untuk memerhatikan cara Datuk Rosyam melakonkan perasaan marah, agar Hariz boleh meniru cara lakonan itu.
X-Change merupakan sebuah drama bersiri terbitan Astro Shaw sebanyak 10 episod.
Memaparkan kisah seorang remaja yang terpaksa terlibat dalam aktiviti jenayah keluarga, drama ini dibintangi barisan pelakon wajah baharu seperti Arfie Shah, Sadiq M. Jamil, Joey Leong.
Selain itu, ia juga turut dibintangi pelakon senior seperti Datuk Rosyam Nor, Marisa Yasmin, Ardini Angeline Tan dan Steve Yap.
Untuk menjadi fit dan sehebat hari ini bukan mudah. Mohd Arif Afifi Bin Mohamad Sukri yang berusia 26 tahun melalui 7 kali try and error untuk mendapatkan berat badan idaman dan menjadi Fitness Trainer hari ini. Ikuti pengalamannya dalam melalui liku-liku untuk menurunkan berat badan.
*Boleh ceritakan sedikit perjalanan coach kurangkan berat badan?
Cerita nak diet ni sebenarnya dah teringin nak mula dari sekolah menengah lagi. Kerana berat badan masa sekolah menengah saya tergolong di kalangan mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Kemudian berat naik ketika saya sambung pengajian di peringkat Diploma dan seterusnya di peringkat Ijazah.
Perjalanan diet saya tidaklah seindah hamparan permaidani merah. Adakala ia ditaburi dengan kaca, kerikil dan juga duri-duri sepanjang saya diet itu. Cabaran ini datang dari pelbagai sudut. Dari diri sendiri, dengan nafsu makan yang membuak, kawan-kawan dan juga suasana persekitaran.
Saya pernah ditanamkan ke dalam pemikiran bahawa saya tidak akan kurus. Kerana keluarga saya besar-besar belaka. Lalu dijadikan alasan obes disebabkan keturunan. Masa gemuk orang selalu pujuk hati cakap takpe gemuk pun. Asalkan sihat dah ok.
Sebenarnya tidak. Itu hanyalah ayat penyedap hati yang selalu diulang-ulang untuk menyejukkan hati. Walhal tuan tubuh sendiri tahu betapa tidak bagus dan tidak sihatnya mempunyai masalah berat badan berlebihan ini. Pergerakan terbatas, aktiviti yang terhad, sistem pernafasan tidak bagus ( mudah penat) dan masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi dan juga kandungan gula yang tinggi. Semua ini bukanlah satu hal yang baik.
Lebih sedekad saya hidup sebagai orang yang obes, hinggalah pada tanggal 2 Februari 2015 saya telah bulat hati untuk laksanakan perubahan. Tarikh itu dipilih memandangkan ia adalah tarikh lahir saya yang ke 23. Maka selepas membuat beberapa pembacaan tentang diet saya pun memulakannya secara perlahan-lahan.
Masa diet saya tak buat semua benda sekaligus. Saya mula secara berperingkat. Saya tahu kalau buat semua sekaligus diet saya akan temui kegagalan. Saya set pada minda diet bukan nak turun berat badan sahaja. Tetapi juga menjaga kesihatan saya. Kurus pula adalah satu bonus yang penting badan saya sihat dan cergas.
Saya mula dengan limitkan air manis sahaja pada permulaan dan lama kelamaan saya tingkatkan kualiti diet dengan kurangkan pula nasi, makan secara berjadual dengan baik, disiplin dengan rutin dan pekakkan telinga dari apa yang orang sindir-sindir. Saya jelas dengan apa yang saya buat itu buatkan saya gembira.
Saya perasan dalam diet yang buatkan saya berjaya ini adalah sepanjang diet saya tidak langsung pernah stress. Dan tak pernah pun anggap yang saya sedang diet yang ketat. Hanya setkan sebagai yang saya sedang menjaga kesihatan agar jadi lebih baik. Penimbang pun saya tak timbang hari-hari. Saya buat dengan enjoy sekali.
Itulah pertama kali saya rasa diet tidak stress dan seronok ya amat. Saya gembira dari rutin yang saya buat bila ia dibuat secara berperingkat. Lagi seronok pada setiap kali hujung minggu saya akan buat cheat day. Benda ni wajib untuk saya. Yalah dah 6 hari saya on track dengan diet, apa salahnya saya ambil satu hari untuk raiakan diri.
Maka bila cheat day tu saya akan makan segala bend yang saya tak sentuh masa on track. Air manis, makanan yang minyak-minyak sikit dan kuantiti pun akan lebih pada hari tulah. Cuma ingat hari tu sahaja. Hari lain on track.
Saya juga selalu pujuk hati dan maafkan diri sendiri. Kalau saya tersasar haritu saya akan kata takpe, esok akan usaha lain. Begitulah. Hinggalah satu hari seorang sahabat rumah saya minta saya pakai baju yang lebih kecil. Alangkah gembiranya bila saya dah mula boleh sarung baju saiz L. Sebelum ni kemana-mana pun saya pakai baju saiz XXXL tanpa sedar bahawa baju saiz L dah boleh sarung. Seronok ya amat.
Disitulah saya dapat tahu dan perasan bahawa berat saya sudah mula berkurang dan ada perubahan inchloss dalam badan.
*Berapa lama tempoh yang diambil?
“Fasa pertama saya fokus pada kardio. Yang menyebabkan berat saya turun secara mendadak dalam tempoh kurang lebih dalam tempoh 3 bulan. Selepas itu saya mula menaikkan sedikit berat badan dan fokus pada beberapa senaman beban. Kurang lebih makan waktu hampir setahun juga.”
*Apa diet yang diamalkan?
Sebenarnya banyak jenis diet yang telah diamalkan oleh orang ramai. Namanya pula sangat pelbagai. Secara umum diet semuanya terkait dengan bagaimana pengambilan kalori kita seharian. Saya memilih untuk diet dengan mengawal kalori yang masuk ke dalam badan. Dan ia dilakukan secara konsisten, sabar dan penuh disiplin.
*Bagaimana pemakanan? (makanan yang diambil dan dielakkan)
Masa diet dulu saya masih makan nasi seperti biasa. Tak ada tinggal nasi sebab saya tahu orang melayu dan nasi itu sukar untuk dipisahkan. Saya sebagai melayu sejati mestilah tak tinggal nasi. Itu yang utama. Haha. Cuma apa yang saya buat adalah kurangkan kuantiti nasi yang diambil. Orang akan terkejut bila saya cerita, sepanjang diet dulu saya makan nasi 2-3 kali sehari. Namun itu yang saya buat.
Cuma nasi itu hendaklah diambil dalam sukatan terkawal dan sederhana. Saya sentiasa disiplinkan diri untuk makan nasi pada setiap kali waktu makan dengan jumlah segenggam tapak tangan sahaja tidak lebih. Itu yang saya buat.
Untuk makluman juga saya amat pantang dengan air manis. Sepanjang diet saya tak sentuh langsung air manis dan hanya fokus kepada air kosong sahaja. Jadi di situ saya dah boleh jimat kalori dari air manis. Hehe.
Selain itu sumber protin juga saya memilih yang kurang lemak dan garam. Amat elakkan protin yang dimasak dengan rendaman minyak penuh (Deep Fried) dan saya banyak fokus pada makanan jenis rebus-rebus atau bakar-bakar sahaja yang semestinya lebih mesra kalori.
Sayur tidak tinggal. Walaupun saya bukanlah penggemar sayur satu ketika dahulu. Namun bak kata orang, Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Maka saya cekalkan hati untuk makan juga sayur. Itulah sedikit sebanyak pemakanan yang saya amalkan dan saya sentiasa variasikan makanan saya. Tidak terikat dengan menu-menu yang sama sahaja setiap hari.
Saya makan 5-6 kali sehari. Bukan diet tahan lapar tak makan apa-apa dari pagi sampai malam. Saya aturkan jadual makan dengan baik. Ada sarapan, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam, dan supper. Semuanya ini masih dalam kawalan dan kalori yang bersesuaian dengan saya.
Namun seminggu sekali saya masih adakan cheat day. Untuk rewardkan untuk diri sendiri.
*Bagaimana pula dengan senaman yang diamalkan?
Senaman itu saya buat. Supaya badan saya tetap aktif dan bukan kurus semata-mata tetapi tidak cergas. Sewaktu berat 125kg dulu saya tak mula dengan joging atau buat aktiviti fizikal yang membebankan lutut. Saya belajar dari kesilapan dulu yang saya sangka kalau nak diet wajib joging. Walhal saya sendiri tidak mampu disebabkan masalah berat badan.
Jadi apa yang saya buat? Saya fokus untuk ambil waktu pada setiap petang untuk berjalan kaki sekurang-kurangnya 20 minit sehari. Ini sudah memadai bagi saya kerana saya tidak mampu untuk berjoging ketika itu akibat masalah berat badan. Saya juga banyakkan kegiatan aktifkan diri. Dengan banyak turun naik tangga, kurangkan ambilan lif, parkir kereta jauh-jauh dan jika ke pasaraya untuk beli barang saya akan pusing dua tiga kali pasaraya tu barulah beli barang. Ini antara rutin saya buat.
Lama kelamaan bila berat saya mula mencecah angka 98kg, barulah saya mula joging dengan kadar perlahan ikut kemampuan. Selepas itu mula perlahan-lahan dengan buat senaman beban dan beberapa aktiviti lain seperti push up, sit up dan beberapa rutin lain dalam senaman.
*Pernah putus asa?
Pernah dan banyak kali sebenarnya. Lebih dari 7 kali percubaan diet yang saya buat bermula dari sekolah lagi. Namun kebiasaan mampu bertahan selama 3 hari sahaja. Selepas itu akan kelaut semula. Banyak faktor gagal ini sebenarnya. Kurang disiplin, ilmu diet yang tak betul dan buat berdasar ikut-ikutan sahaja.
Kegagalan adalah satu pengalaman berharga untuk terus maju ke hadapan.
*Apa yang menjadi kekuatan untuk kekal bersemangat menurunkan berat badan?
Tidak ada kekuatan yang terkuat melainkan diri sendiri. Diri sendiri yang kena kuat. Kemudian barulah boleh ditagih kekuatan itu dari ahli keluarga dan sahabat handai yang baik. Namun semestinya dalam setiap usaha saya selalu sandarkan usaha dan kekuatan saya kepada Tuhan. Setiap hari saya akan doa memohon kekuatan dan istiqamah. Tanpa izin dan kekuatan dariNya saya takkan jadi apa yang saya dapat sekarang.
*Bagaimana penerimaan keluarga saat mengetahui coach sedang berusaha mengurangkan berat badan?
Pada awalnya mereka sendiri tidak percaya. Bahkan ada yang anggap saya hanya hangat-hangat tahi ayam saja. Abah pula selalu cakap, “Kita tengoklah Abang Arif tahan lama mana dengan diet dia?” Hehe. Ini saya fikir cabaran dari abah barangkali. Namun dalam hal ini saya amat bersyukur, emak sangat menyokong. Beliaulah dietitian tak bertauliah saya yang pertama.
Ketika saya nyatakan hasrat mahu diet emak yang tolong masakkan makanan khas buat saya. Lauk-lauk pun semuanya rebus dan bakar-bakar sahaja. Syukur hari ni saya mampu balas kepercayaan yang emak dah bagi selama ini!
*Antara dialog yang dilemparkan kepada coach yang membuatkan coach tak boleh lupa?
“Kau diet lah camana pun. Gemuk tetap akan gemuk dan takkan berjaya punya, kau ditakdirkan untuk gemuk dan orang gemuk selalu ketinggalan.” Hehe. Itu antara dialog popular. Bab kena panggil dengan gelaran King Kong, Badak masa sekolah dulu dengan kawan-kawan perempuan tu biasalah. Hehe.
*Bagaimana pula dengan nasihat dan dialog positif yang diterima, boleh kongsikan?
Walaupun dikelilingi dengan persekitara yang negatif semasa proses diet ini saya masih lagi ada lagi sebagian komuniti positif yang sentiasa menyokong. Kata yang selalu saya pegang, Perjuangan ini adalah perjuangan antara saya dengan diri sendiri. Tidak perlu fikir tentang apa yang orang lain akan terima. Jika dibuat pun tak untungkan tak untungkan mereka, jika ditinggal pun tak merugikan mereka.
Fokus dan buat untuk diri sendiri. Biar mereka yang pandang rendah hari ni akan terpaksa melangut tinggi bila dah berjaya. Buktikan!
*Dari mana coach belajar tentang pengambilan makanan yang betul?
Sebelum mula diet secara serius ini saya telah buat beberapa pelaburan ilmu dengan belajar dari kawan-kawan saya di bidang perubatan dan juga dietitian. Selepas itu saya mula membaca blog-blog kesihatan yang ada. Salah satunya dari Coach Kevin Zahri (Cikgu Fitness Malaysia) yang memberi tunjuk dan panduan bagaimana melakukan diet secara sihat.
*Apa pendapat coach mengenai penjagaan makanan yang sihat dan juga senaman? Penting ke?
Sangat penting. Penjagaan makanan membantu dalam mengurangkan berat badan. Namun senaman akan terus mencergaskan badan dan bina stamina dan otot yang lebih kuat. Dalam diet kurus bukan matlamat. Tetapi badan yang cergas dan sihat juga antara fokus utama. Tidak dapat tidak, senaman mesti jadi keutamaan juga. 80% jaga makan, 20% senaman.
*Coach pernah mencuba supplemen kurus ke?
Tidak pernah. Suka Neutral.
*Apa pandangan coach mengenai suplemen kurus?
Terpulang bagi mereka yang mahu gunakan. Itu atas pilihan masing-masing. Namun nasihat saya cuba dapatkan dahulu semakan kesihatan dari doktor sebelum menggunakan sebarang suplemen. Kerana risiko yang amat tinggi bagi mereka yang tidak tahu status kesihatan bila guna supleman secara tak terancang. Semestinya nasihat mestilah dari mereka yang berautoriti dan bukan dari penjual suplemen itu.
Suplemen bukanlah ubat kurus. Itu yang harus disetkan oleh minda. Saya sendiri tidak menggunakan sebarang suplemen dan sememangnya kita semua boleh kurus walau tanpa suplemen. Jika mahu jimat dietlah secara alami tanpa suplemen.
*Peristiwa yang tak dapat dilupakan sepanjang weight loss journey?
Gambar saya ditangkap masa tengah berjoging dan muka kepenatan gila (masa tu tengah gemuk lagi) lalu dimasukkan ke dalam grup whatsapp dan saya kena bahan dengan member-member. Hahaha. Disindir oleh rakan-rakan sekelas dan begitulah keadaannya.
*Apa nasihat coach kepada orang ramai yang ingin mengurangkan berat badan?
Niat kena jelas dan fokus haruslah diberikan sepenuhnya semasa diet. Nak diet jangan buat semua secara drastik. Buatlah secara berperingkat dan jangan ikut menu orang itu atau orang ini. Lain orang lain citaranya. Binalah plan pemakanan kalian yang tersendiri. Yang penting masih menepati menu masakan sihat dan berkualiti.
Untuk senaman pula jangan buat apa yang orang lain boleh buat. Ikut dan buatlah senaman mengikut keupayaan diri masing-masing. Stamina dan tahap kecergasan kita tidak pernah sama. Lakukan mengikut kemampuan diri akan mengurangkan risiko untuk kecederaan yang berpanjangan.
Selain itu janganlah rasa stress dalam usaha diet ini. Buatlah ikut kemampuan dahulu. Sentiasa maafkan diri sendiri juga antara faktor kejayaan dalam diet. Sabar dan elakkan sikap tergopoh-gopoh terutama memikirkan tentang berat yang tak turun-turun. Bertenanglah kawan. Badan gemuk pun bukan makan sehari dua, tetapi bertahun lamanya bukan? Maka berilah badan waktu untuk faham diet yang kalian buat dan bersabar semasa prosesnya. Saya juga menasihati agar kalian buatlah sedikit pelaburan ilmu dengan pergi ke kelas atau seminar kecergasan dari mana-mana coach atau dietitian sekalipun. Belajar dan galilah ilmu diet dari kelas-kelas yang mereka anjurkan, Insyaallah ia akan jadi satu pelaburan ilmu yang baik.
Doa saya sentiasa mengiringi kalian yang ingin menurunkan berat badan secara sihat. Jika saya boleh kalian juga pasti boleh. Semoga terus istiqamah dan konsisten dengan apa yang kalian laksanakan. Tamatkan apa yang telah dimulakan.
Untuk info lanjut boleh ke FB dan IG Coach Mohd Arif Afifi Bin Mohamad Sukri.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Sebelum memulakan percintaan satu pejabat, sama ada sesebuah syarikat itu mempunyai polisi atau tidak akan larangan bercinta, pasti ada batas-batas yang perlu anda ikuti. Bukan sekadar itu, di mana anda berdua pergi juga pasti akan sentiasa diperhatikan. Maka prestasi kerja pasangan juga akan dinilai berdasarkan sejauhmana hubungan. Jadi sanggupkah anda menempuh semua itu?
Sebelum memulakan percintaan perlu fikirkan dahulu apa yang terjadi jika percintaan itu terputus di tengah jalan. Bolehkah anda berurusan secara profesional dan bertemunya setiap hari?
Jika sedang hangat bercinta, janganlah pula memperlihatkan adengan romantis di depan rakan sekerja. Berpengangan tangan atau menyuapkan makanan ke mulut mungkin boleh dilakukan di tempat lain dan bukan di pejabat. Rakan-rakan pula pasti akan rasa tidak selesa jika aksi itu yang sering anda lakukan.
Ketika bercinta mungkin segala rahsia dikongsi bersama. Namun jika putus, segala kelemahan bekas kekasih akan digunakan untuk tujuan membalas dendam bagi menghancurkan kariernya.
Bercinta satu pejabat juga akan memberi kesan terhadap prestasi kerja jika anda tidak pandai mengawalnya. Terlalu beremosi atau ‘jiwang’ akan membuatkan anda hanyut dalam situasi itu.
Faktor ego juga akan memberi kesan andai kekasih lebih tinggi jawatannya di sesebuah organisasi. Malah jika bos pula bercinta dengan pekerja lagi haru! Ada pula kes berat sebelah dan pilih kasih.
Ciri-ciri Positif
Apabila satu pejabat maka anda boleh melihat pasangan dan sentiasa menjaga akan keselamatannya.
Melakukan kerja dengan lebih tekun kerana tidak mahu pasangan dan pengurusan melihat akan hubungan cinta itu akan memberi sebarang masalah.
Apabila ciri-ciri positif ini ada, maka syarikat pula pasti tidak akan menghalang percintaan anda berdua malah untuk yang lain juga.
Pasangan akan lebih mudah diketahui dari segi perangai serta keadaan mood masing-masing.
Oleh kerana bercinta sepejabat, maka anda akan lebih difahami jika bekerja lewat masa atau dibebani dengan tugasan yang banyak.
Ini juga akan memupuk sikap tolak ansur dan lebih memahami dalam apa jua urusan untuk pasangan.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.