Lelaki dan nostalgia takkan dapat dipisahkan. Hal ini kerana masing-masing hidup dengan cara hidup sendiri dan dalam survival kehidupan itu, banyak pengalaman telah ditemui.
Pengalaman ini boleh jadi apa sahaja seperti suka, duka, pahit atau manis namun kesemuanya mencorakkan siapa kita pada hari ini.
Semalam, gambar dua sosok tubuh yang cukup dikenali ramai, dihormati dan disegani bertebaran dalam media sosial.
Tidak lain tidak bukan yang dimaksudkan adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
1. Banyak masa untuk bercerita
Baginda mengambil inisiatif mahu menghantar sendiri Dr. Mahathir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dekat Johor Bahru.
Walaupun jaraknya sejauh 22 kilometer dari istana, apabila dua lelaki berborak dalam satu kereta, pasti banyak cerita yang dikongsikan.
Di sini, luahan hati secara professional berdepan lebih berkesan kerana ia dapat dilakukan secara santai berbanding berbicara disaksikan ramai orang.
Benar, kedua-duanya adalah pemimpin negara namun sebagai rakyat, kita perlu hormati dan jangan sesekali pertikaikan sekiranya mereka memerlukan ruang privasi.
2. Kereta lama penuh kenangan
Tidak kiralah sama ada motorsikal, kereta mahu pun lori, kesemua kenderaan ini mempunyai cerita yang tersendiri kepada sesetengah individu.
Menaiki kereta lama atau kereta pertama yang dimiliki, ia memberi seribu satu rasa yang tidak dapat digambarkan.
Namun keasyikannya mampu menimbulkan pelbagai persoalan yang hanya dapat dirasai oleh individu tersebut.
Mengambil pendekatan membawa Dr. Mahathir dengan kereta Proton Saga pertama di Malaysia, pastinya ada kenangan yang sentiasa segar di ingatan.
Proton Saga pertama itu diberi nombor pendaftaran Proton 1 dan ia merupakan pemberian Dr. Mahathir kepada ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail sewaktu menjadi Yang di-Pertuan Agong suatu ketika dahulu.
3. Barang klasik timbulkan kekaguman
Jika generasi hari ini pun berpeluang menyentuh atau mendekati barang-barang klasik yang berharga dan bersejarah, aspek kekaguman itu secara automatik akan timbul dalam diri.
Begitu juga dengan Proton 1 ini, ia bagaikan sebuah kenderaan yang wujud dalam penuh suasana bersejarah.
Lebih mengujakan, walaupun kereta manual itu sudah berusia 32 tahun dan berjalan sehingga 22,000 kilometer, Proton 1 masih berada dalam keadaan baik untuk bergerak.