BAMBANG SUTRISNO SOTETO
Pakar pendandan rambut, Bambang Sutrisno Soteto ada idea tersendiri. Jarinya rancak bergerak bersama ideologi tentang dunia dandanan rambut.
KEMAHUAN
Saya pernah tidak bercakap dengan ayah sewaktu melahirkan hasrat untuk menjadi hairdresser dan bukannya jurutera kimia. Akhirnya saya menerima respon positif dari keluarga apabila saya berjaya buktikan bahawa impian saya ini bukan omongan yang kosong.
Mungkin dulu, kerjaya ini bukan kerjaya sesuai untuk seorang lelaki dan ada juga yang rasa segan mengakui minat mereka tetapi kini segalanya berbeza. Asalkan ada minat, perniagaan yang halal dan kita ikhlas menjalankan perniagaan, jadi segalanya OK!
RAHSIA RAMBUT
Orang pertama yang menjadi ‘mangsa’ saya adalah seorang sahabat karib sewaktu masih belajar di asrama penuh, Ali Imran. mungkin kerana kepercayaannya kepada saya, dia membenarkan saya mendandannya dan respon? Not bad!
SIFU
Di awal penglibatan, saya pernah menjalani latihan di Mannheim, Germany, London, dan Vienna selama lima tahun berturut-turut. Semua latihan ini saya ambil sebagai pengalaman dan pengajaran untuk saya menghadapi masa hadapan. Kesempatan dan peluang yang saya terima mungkin sukar diperolehi jadi saya gunakan sebaiknya. Selepas tamat latihan, saya juga pernah bekerja di salah sebuah salon dandanan rambut terkenal di Vienna bernama Headquarters selama dua setengah tahun. Sepanjang berada di sana untuk menjalani latihan dan bekerja, saya mendapat banyak pengalaman hebat dan kemahiran dandanan rambut lazim masyarakat Eropah, pengaruh dari gaya rambut geomatrik zaman 60-an dan 70an. Sedikit demi sedikit saya mula yakin dengan kebolehan yang saya ada dan saya bawa ilmu serta pengalaman ini ke Malaysia.
TERGUNTING JARI
Ya! Saya pernah tergunting jari sewaktu melakukan pertunjukan dandanan rambut di Indonesia. Siapa sangka, ada juga golongan profesional yang melihat kebolehan saya. Saya dihantar ke Jakarta untuk membuat pertunjukkan rambut di hadapan beratus-ratus hairdresser
dari seluruh Indonesia. Sewaktu rancak menggunting rambut di pentas utama, saya tergunting jari sendiri! Sakit memang tidak dapat diluah dengan kata-kata tetapi saya teruskan aksi lincah di atas pentas dan cuba menahan sebaik mungkin kerana walau apa pun terjadi, the show must go on!
DETIK TERINDAH
Kelahiran Hairkunst di The Curve, Mutiara Damansara dan juga dipilih menjadi duta jenama Schwarzkopf.
PETUA
Saya akui bidang ini mula menarik perhatian ramai. Ramai yang datang bertanya bagaimana untuk terus maju ke hadapan? Rasanya tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan malah saya akan menjadi orang yang lebih rajin. Saya akan lebih rancak mencari idea baru untuk diketengahkan. Apabila ada saingan yang sihat, saya perlu pastikan saya sentiasa up-to-date dengan trend terkini. Sesungguhnya, kekuatan saya terletak pada pengalaman bekerja di luar negara dan menjadi duta Schwarzkopf. Hubungan yang baik di antara saya dan pelanggan juga merupakan antara sebab saya masih menjadi pilihan mereka dan terus mencipta nama.
IKUT RESMI PADI
Untuk terus mengembangkan sayap dan dikenali lebih meluas, kita perlu sentiasa merendah diri. Teruskan mengambil tahu mengenai perkembangan semasa, jangan ketinggalan dan paling penting jadilah pendengar yang baik. Kadangkala, ada hairdresser yang tidak menghiraukan permintaan pelanggan, hanya ikut kepala sendiri. Jika kena pada gaya, tidak mengapa tetapi sekiranya tidak sesuai dengan kehendak pelanggan, kita juga yang akan dapat nama buruk. Yang penting, kita perlu tahu apa yang kita lakukan!
Biodata & Profile:
Nama: Bambang Sutrisno Soteto
Jawatan: Pedandan Rambut
Pendidikan Kepakaran: Mods Salon, Mannheim, Germany & Headquarters Academy and Salon,Vienna, Austria.
Tahap Pendidikan: Ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Kimia dari Universiti Fachochschule Mannheim, Jerman.