Baru-baru ini telah tular satu video di mana seorang lelaki yang berkongsi kisahnya masuk lokap atau dipenjara selama empat hari. Ini gara-gara dia tak bawa kad pengenalan dan gagal kemukakannya apabila diminta pihak polis.
Melihatkan reaksi balas dari warganet rupanya masih ramai yang tidak tahu bahawa kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan ketika diperiksa boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Menerusi TikTok, lelaki yang menggunakan nama Jokercho berkongsi pengalaman lalunya di mana dia ditangkap di sebuah pusat beli-belah di Klang, Selangor kerana tidak membawa kad pengenalan dan gagak mengemukan pengenalan diri.
Perkongsiannya di TikTok tersebut secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada ramai orang bahawa ia adalah satu kesalahan yang cukup serius.
Mana-mana warganegara yang didapati gagal mengemukakan kad pengenalan atau MyKad boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Bagi peruntukan di bawah peraturan ini, mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri juga boleh ditangkap oleh pihak berkuasa tanpa waran mengikut peraturan yang sama.
BACA: Tip Baiki Corak Larian Dengan Teknik Langkahan Betul, Barulah Tak Sakit Lutut
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang awam supaya sentiasa membawa dokumen pengenalan diri sebagai peruntukan undang-undang. Selain itu, orang awam juga dinasihatkan agar memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis jika ada pemeriksaan dijalankan.
Jadi ingat ya, kalau nak keluar rumah jangan lupa bawa kad pengenalan. Kalau telefon pintar boleh ingat, takkan kad pengenalan yang penting boleh lupa.
Semoga perkongsian kali memberikan manfaat untuk anda semua.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Sumber: Sinar Harian