Gaya Hidup

Tahun Baharu Asyik Ulang Azam Yang Sama, Bagaimana Mahu Hentikan?

Share

Menjelang tahun baharu, pastinya ramai yang berkobar-kobar mahu melangkah ke tahun seterusnya dengan azam baharu.

Namun persoalannya, adakah azam tahun ini sudah berjaya dicapai?

Jika tidak, adakah azam yang tidak tercapai itu dibawa ke tahun hadapan pula?

Lalu timbul persoalan lain pula, sudah berapa kali azam itu dibawa ke tahun seterusnya?

Kali ini, MASKULIN kongsikan beberapa tips untuk membantu anda mencapai azam anda agar ianya tidak di ‘kitar semula’ untuk tahun berikutnya.

Jangan Berangan Terlalu Tinggi

Tidak salah berangan-angan kerana ia boleh menjadi nyata. Namun angan-angan yang terlalu tinggi boleh menjadi sesuatu yang mustahil.

Katakanlah anda adalah seorang lepasan sekolah tanpa simpanan wang pada tahun ini. Anda mempunyai impian untuk menjadi seorang jutawan. Adakah impian itu mampu dicapai dalam jangka masa setahun?

Dalam memasang impian, ukurlah baju di badan sendiri. Jika anda menetapkan impian yang tidak realisitik, lebih tinggi keberangkalian anda untuk gagal. Bila sudah gagal, anda juga yang kecewa dan hilang semanagat bukan?

Jangan Tunggu 1hb Januari

Memang ia dikenali sebagai “azam tahun baharu”, tapi perlukah anda menunggu tahun baharu untuk memulakan langkah pertama?

Setiap azam sudah dipasang menjelang tahun baharu. Oleh itu, bukankah lebih baik jika anda sudah memulakan langkah seawal mungkin.

Setidak-tidaknya, anda sudah tidak perlu ‘bertatih’ lagi apabila tahun baharu tiba.

Contohnya, jika anda berazam untuk bersenam demi menurunkan berat badan pada tahun hadapan, laksanakan terus senaman itu walaupun masih berbaki beberapa minggu sebelum tahun baharu.

Apabila sudah tiba 1hb Januari, impian anda lebih mudah untuk dilaksanakan kerana anda sudah pun membina stamina dan tabiat tersebut.

Percayalah, jika anda menangguhkannya sekarang, lebih tinggi keberangkalian untuk anda menangguhkannya lagi.

Jangan Fikir Setahun Itu Lama

Ramai yang sering ‘mengitar semula’ azam mereka kerana tidak sedar yang waktu semakin berlalu hingga akhirnya, penghujung tahun sudah tiba.

Penting untuk anda sedar yang waktu berlalu pantas dan tempoh setahun boleh berlalu tanpa kita sedari.

Jika anda fikir yang tempoh setahun itu adalah lama, lebih kerap anda menangguhkan kerja-kerja untuk mencapai matlamat anda.

Ingat, masa itu tidak boleh diganti. Amatlah rugi jika kita membiarkan ianya berlalu begitu sahaja tanpa memanfaatkannya.

Bak kata pepatah Arab, “Masa itu ibarat pedang. Jika anda tidak memotongnya, ia akan memotong anda”.

Published by
Ruszaini Ruslan