Berita

Syed Saddiq Mohon Maaf Kepada Seluruh Komuniti Triatlon

Share

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akur keputusan perlumbaannya di Kejohanan Triatlon Antarabangsa Desaru 113 dikira sebagai tidak menamatkan perlumbaan, iaitu DNF (Did Not Finish).

Syed Saddiq mengakui berlaku kesilapan ketika perlumbaan triatlon itu berlangsung di Johor pada 7 Julai lalu.

Foto: Tangkap layar keputusan perlumbaan di laman web Kejohanan Triatlon Antarabangsa Desaru 113.

Menerusi perkongsian video dalam laman media sosialnya, Saddiq tampil menjelaskan kesilapan yang berlaku selepas memperoleh perincian lengkap dari pasukan teknikal penganjur perlumbaan itu.

Perincian itu kemudian disemak silang dengan butiran yang direkodkan menerusi aplikasi Strava dan peranti jam pintar iWatch miliknya.

“Ketika sesi berbasikal, mengesyaki ada yang tidak kena kerana saya kembali lebih awal dari jangkaan, saya langsung merujuk kepada Pasukan Teknikal 1.

“Saya kemudian diberitahu yang tiada sebarang masalah lalu saya sambung seperti biasa,” jelas Saddiq.

Tambahnya, terdapat dua pegawai dari Pasukan Teknikal 1 yang boleh mengesahkan perkara itu.

“Sekarang butiran terkini menunjukkan yang menghabiskan tiga loop dan melintasi kesemua checkpoint, tetapi satu loop di permulaan ialah untuk Olympic Loop Race, bukannya 113”.

Oleh itu, masalah hanya berlaku di pusingan pertama manakala pusingan kedua dan ketiga berjalan dengan lancar.

Disebabkan itulah jumlah kiraan perlumbaannya ialah 72 kilometer untuk tiga pusingan, bukannya 60 kilometer untuk dua pusingan, demikian penjelasan Saddiq.

“Ini adalah satu kesilapan yang jujur dari pihak saya, walaupun telah memeriksa masalah ini ketika perlumbaan dan memaklumkan pasukan teknikal, saya sebagai peserta sepatutnya lebih bertanggungjawab.

Berjanji Untuk Lebih Berhati-Hati

Oleh itu, Ahli Parlimen Muar itu menzahirkan permohonan maaf kepada seluruh komuniti triathlon.

“Saya memohon maaf tanpa sebarang syarat kepada komunitit triatlon. Ya, saya masih baru dan saya berharap untuk memperbaiki diri.

“Saya berjanji untuk lebih berhati-hati selepas ini dan akan bekerja rapat dengan komuniti untuk memperbaiki diri kerana ini adalah satu sukan yang saya cintai,” katanya lagi.

Terdahulu, kemenangan tempat ketiga yang diperoleh Saddiq di Kejohanan Triatlon Antarabangsa Desaru 113 mencetuskan rasa kurang senang warga maya apabila salah seorang peserta mendakwanya ‘main tipu’.

Foto: Tangkap layar hantaran di laman Instagram Syed Saddiq mengenai kemenannganya di Kejohanan Triatlon Antarabangsa Desaru 113.
Foto: Tangkap layar komen salah seorang peserta yang mempersoalkan kemenangan Syed Saddiq di Kejohanan Triatlon Antarabangsa Desaru 113.

Menurut peserta itu, dia menyedari Saddiq berada di belakangnya ketika acara berenang dan tidak memotongnya ketika acara berbasikal.

Bagaimanapun ketika acara larian, Saddiq dikatakan sudah berada di hadapannya.

Oleh yang demikian, Saddiq dianggap telah merebut kemenangan dari peserta lain yang benar-benar layak atas usaha keras tanpa menipu ketika perlumbaan.

Sumber: X Syed Saddiq

BACA: Jersi Atlet Paralimpik Malaysia Dipuji Lebih Cantik

 

Published by
Ruszaini Ruslan