Bila baca tajuk di atas memang bunyinya akal sinikal dan mungkin sedikit melucukan. Namun anda tidak perlu bermimpi lagi. Atau anda boleh teruskan bermimpi di dalam tidur tetapi kali ini dengan dapat upah gaji yang lumayan!
Mengupah orang untuk tidur sebenarnya bukan perkara baharu terutamanya di luar negara. Namun di Malaysia ia amat jarang sekali kita dengar. Dan itulah yang telah menjadi tular di laman media sosial dalam beberapa hari ini selepas sebuah syarikat pengeluar tilam di atas talian Sonno mengiklankan pekerjaan ‘tukang tidur’ di laman seswang mereka.
Mereka mencari seseorang yang boleh memberikan komitmen untuk tidur selama lapan jam sehari untuk selama 100 malam.
Untuk berjaya menyelesaikan misi sebagai ‘tukang tidur’ atau diberi jawatan oleh mereka sebagai Eksekutif Tidur, pemohon perlu melakukan beberapa perkara.
Jika anda ada bakat tidur selama 8 jam sehari anda bolehlah meohon dengan syarat menyelesaikan beberapa misi. Di antara misinya ialah tidur dengan konsisten setiap hari dalam tempoh ditetapkan, menulis laporan tentang pengalaman tidur dengan tilam Sonno dan merakamkan video selama 30 saat dua kali sehari.
Permohonan bagi jawatan unik ini dibuka bermula 1 Julai sehingga 31 Julai 2020. Jika layak pemohon akan dihubungi sebelum 20 Julai 2020.
Pemohon yang terpilih akan mula melakukan misi tidur mereka bermula 1 September sehingga 10 Disember 2020. Kalau anda rasa anda ada bakat tidur luar biasa bolehlah memohon.
Sumber: Sonno