Hiburan

Strategi, Semangat, dan Keringat Ke Puncak Menara KL – Dua Kisah Berbeza Saddam & Nad

Share

Episod pertama MASKULIN Who’s Your Bro bermula dengan penuh debaran dan cabaran yang tidak disangka-sangka.

Cabaran larian menara KL sambil membawa beban berat sehingga 20kg bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, malah menuntut kecekalan mental setiap peserta.

Namun, luar biasanya, kesemua 12 peserta berjaya menakluki puncak Menara KL, membuktikan semangat juang mereka yang luar biasa.

Setiap peserta diberi cabaran unik yang mencabar kemampuan mereka secara individu. Maskulin berkesempatan menemubual dua peserta dengan cerita yang paling mencuri perhatian – Saddam, peserta terpantas, dan Nad, peserta terakhir yang mengharungi kecederaan belakang.

PENGALAMAN & TAKTIKAL

Sebagai seorang pelari menara yang berpengalaman, Saddam Pittli menggunakan segala kemahiran, pengalaman, dan aplikasi taktikalnya untuk mencatatkan masa terpantas.

Dengan target awal 15 minit, Saddam berjaya mengejutkan semua apabila menamatkan cabaran hanya dalam 14 minit lebih!

Saddam Pittli

“Saya takde strategi apa sangat sebab dah biasa tower running. Tapi ini pertama kali buat dengan beban seberat 20kg. Masa lari, macam-macam perasaan timbul, saya tanya diri sendiri, ‘Apa aku buat ni?’,” kata Saddam sambil tertawa.

Namun, semangatnya melonjak apabila melihat rakan-rakan lain berjaya menamatkan cabaran sebelum beliau. Beban berat yang digalas bukan cabaran utama, tetapi teknik membawa beban tersebut adalah kunci kejayaan.

“Cara saya bawa, sebelah tangan kiri dan sebelah lagi atas bahu. Bila rasa penat, saya tukar-tukar. Itu sahaja caranya untuk pastikan saya konsisten,” tambah Saddam.

Dengan keazaman dan fokus yang tinggi, Saddam membuktikan bahawa persediaan dan teknik yang baik adalah resepi untuk kejayaan.

KEKUATAN MENTAL LUAR BIASA

Berbeza dengan Saddam, Nad, seorang ahli bina badan, mengakui cabaran ini bukanlah kekuatannya. Ditambah pula dengan kecederaan belakang yang dialami semasa mendaki, Nad mengakui cabaran ini adalah pengalaman yang cukup memeritkan.

“Berasa sangat lega kerana tiada elimination. Sebab performance saya memang tak memberangsangkan dengan kecederaan ni. Saya akan cuba lebih baik untuk cabaran seterusnya,” ujar Nad.

Walaupun bukan di posisi teratas, semangat Nad menjadi inspirasi kepada peserta lain. Baginya, kekuatan mental lebih penting daripada kemampuan fizikal dalam situasi ini.

“Tak sangka challenge ini dilakukan. Sangat tough dan saya salute semua rakan-rakan, semua dapat selesaikan. Satu perkataan saya boleh kongsi untuk cabaran ini ialah ‘hell’!” kata Nad penuh emosi.

Dengan episod pertama yang mengujakan, persoalan yang bermain di minda semua – apakah cabaran seterusnya yang bakal mereka hadapi?

BACA: ‘MASKULIN Who’s Your Bro’: Ep 1 – Tawan Menara KL Dengan Berat Beban 20kg!

Siapa bro, siapa lawan? Adakah kekuatan fizikal akan terus mendominasi, atau adakah cabaran yang memerlukan kebijaksanaan dan strategi bakal muncul?

Jangan lupa saksikan episod kedua MASKULIN Who’s Your Bro pada Jumaat ini, 6 Disember 2024 jam 9 malam di Astro Ria.

Saksikan perjuangan peserta yang tidak kenal erti putus asa dan saksikan sendiri siapa yang bakal muncul sebagai “Bro” sejati dalam siri penuh aksi ini!

 

“Jadi bro, siapa lawan? Jangan ketinggalan!”

 

Follow TikTok MASKULIN

Published by
Farizul Izwany Ibrahim