Pilihan warna
Pemilihan warna yang tepat dapat memberikan keseluruhan gaya kamu lebih sempurna! Siapa kata warna tidak mampu untuk meningkatkan personaliti diri kamu? Tapi, kamu harus bijak dalam memilih warna baju yang betul mengikut kesesuaian kulit badan kamu. Lazimnya, warna-warna moody seperti biru gelap, coklat, kelabu serba hitam antara menjadi pilihan kaum lelaki untuk tampil ringkas namun masih kekal eksklusif dan tampak mahal. Pun begitu, tidak salah jika kamu mencuba pilihan warna yang sedikit terang dan meriah. Merah, kuning, pink mahupun gold. Apa kata kamu cuba berbelanja sehelai kemeja kuning potongan slim fit serta padankan dengan seluar jeans skinny rona putih?
Bukan hanya warna, namun apa yang menampakkan kamu persis gentleman yang sebenar adalah corak pada fabrik yang kamu sarungkan. Seperti biasa, ramai lelaki lebih memilih untuk menggunakan fabrik kosong kerana takut kelihatan terlebih dalam bergaya. Salah belaka! Apabila kamu menyarungkan helaian sut yang bercorak, ia secara tidak langsung menginterpretasi personaliti kamu sebagai seorang yang berpendirian dan unik. Corak petak antara yang menjadi pilihan para pereka untuk mempersembahkan gaya fesyen yang lebih maskulin. Sama ada saiznya kecil mahupun besar, ataupun penggunaan garisannya lebih tebal dan halus, ia terpulang kepada kebijaksanaan kamu dalam memilih padanan aksesori yang sesuai dan menghasilkan gaya fesyen keseluruhan yang menarik!
Mungkin kala ini kita tidak tertumpu kepada potongan yang serba normal. Besar dan lebar. Rata-rata lelaki hari ini lebih memilih untuk menunjukkan tubuh mereka. Dengan penggayaan yang serba gentleman, kamu juga boleh kelihatan seksi! Nak pula kaum lelaki hari ini lebih suka untuk membina otot badan. Jadi tidak mengapa! Sarungkan helaian sut mahupun tuxedo yang potongannya lebih slim dan skinny. Kamu bukan sahaja tampak lebih seksi, malah wanita bakal cair melihat kamu kerana gaya fesyen kamu persis lelaki melayu terakhir!