Selain dunia bola sepak, dunia ragbi juga turut bersimpati atas nasib malang pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim yang melecur tahap empat akibat disimbah asid, baru-baru ini.
Legenda ragbi dunia, Sonny Bill Williams juga turut serta memberikan kata-kata semangat kepada pemain Harimau Malaya itu dan mengharapkan Faisal Halim tabah serta sabar dapat menjalani ujian itu.
Kata-kata Sonny dikongsikan SFC menerusi satu klip pendek di laman Instagram pasukan itu, semalam.
“Assalamualaikum saudaraku Faisal. Sonny Bill Williams di sini. Saya hanya ingin mengucapkan semoga Allah memudahkan urusan kamu dan keluarga.
“Saya doakan yang terbaik untuk saudaraku Faisal. Insya-Allah kekal kuat kerana dengan kesukaran pasti akan datang kesenangan.
“Insya-Allah kesenangan itu akan hadir lebih cepat daripada yang kita jangkakan,” kata Sonny.
Terdahulu, insiden Faisal disimbah asid itu juga mendapat perhatian daripada bintang bola sepak dari luar negara.
Dua pemain Manchester United, Alejandro Garnacho dan penjaga gol, Andre Onana menzahirkan simpati serta mendoakan kesembuhan buat Faisal.
Dalam satu temu bual bersama Stadium Astro, Onana yang juga penjaga gol kebangsaan Cameroon turut memberikan kata-kata semangat kepada pemain Selangor itu.
Sumber: Berita Harian
BACA: Melecur Tahap Empat, Doktor Jangka Aksi Faisal Halim Mungkin Tidak Seperti Dulu