Lagu “Sinar Sunyi” nyanyian Hariz Fayahet telah berkumandang sebagai lagu runut kepada drama slot Samarinda “Menanti Senja” pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam bermula 17 Januari 2024.
Lagu ‘Sinar Sunyi’ telah berkumandang di iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Tidal dan Deezer sejak 2 Januari lalu. Lirik lagu ini berkisarkan tentang memori percintaan sepasang kekasih yang telah melalui pelbagai cabaran dan tentangan daripada orang sekeliling.
Kehadiran penerbit drama ‘Menanti Senja’ iaitu Hariff Ahamat, di studio rakaman telah memberi semangat kepada Hariz Fayahet untuk menghayati lagu ini. Lirik dan alunan melodi ‘Sinar Sunyi’ hasil karya Omar K, Iqie Hugh dan Shazriq Azeman mengambil masa 3 hari dan diinspirasikan melalui plot drama serta karakter pelakon yang membintangi drama ini.
“‘Sinar Sunyi’ sangat serasi dengan Hariz kerana keunikan tona suara yang bukan sahaja berjiwa, malah dapat mengisi ruang lagu dengan feel pop dan ala ala rock balada dalam lagu pop yang lebih bertemakan orkestral,” kata Omar K.
“Hariz juga seorang yang kecil-kecil cili api kerana mempunyai suara epik. Hariz telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan lagu ini dan ramai yang tertunggu-tunggu akan vokal mantap yang dimiliki oleh Hariz,” tambahnya.
Sebagai rekod, Hariz Fayahet telah mula menceburkan diri dalam bidang seni sejak tahun 2015 dan pernah memasuki pelbagai pertandingan. Antaranya menjadi Naib Juara dalam program realiti TV3 iaitu Program Lagu Cinta Kita 3 (LCK 3).
Dengan kemenangan ini secara automatik beliau bernaung di bawah syarikat rakaman Alternate Records. Antara lagu OST yang pernah dibawakan oleh Hariz adalah lagu ‘Pergi’ OST bagi drama ‘Hati Yang Tersakiti’ (2020), ‘Seribu Gundah’ OST drama ‘Risik Pada Hati’ (2021), lagu ‘Ku Cuba OST drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’ (2022), lagu Gelora OST drama ‘Segenap Takdir’, lagu ‘Buat Ku Setia’ OST drama ‘Aku Yang Kau Sakiti’ (2023) dan yang terbaharu ‘Sinar Sunyi’ OST ‘Menanti Senja’ (2024).