Tun Dr. Mahathir Mohamad, seorang figura yang tidak asing lagi dalam arena politik Malaysia, telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara ini. Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah, dan kini berusia 98 tahun.
Beliau telah menjadi Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali, iaitu dari tahun 1981 hingga 2003 dan sekali lagi dari 2018 hingga 2020.
Malah, diusia yang bakal menjangkau 100 tahun, lelaki hebat ini masih dilihat aktif.
Sebagaimana yang diketahui, Kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sangat disegani pemimpin negara dunia pertama, negara maju mahupun negara membangun. Ramai pemimpin dunia menghormati kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ini.
Nama Tun Dr Mahathir Mohamad telah terpahat dalam sejarah dunia apabila muncul sebagai Perdana Menteri Tertua di dunia. Lebih istimewa apabila Tun Dr Mahathir Mohamad telah dua kali menjadi Perdana Menteri.
Beliau berjaya membuktikan bahawa usia hanyalah angka! Bapa Pemodenan ini kekal sihat dan mampu bergerak aktif di usianya sekarang. Bapa kepada Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar ini telah berkongsi rahsianya kekal sihat menerusi paparan video di laman sosial TikTok.
Dalam video berdurasi satu minit tujuh saat itu, beliau berkongsi salah satu aktiviti yang dilakukannya ialah berjalan kaki. “Kalau lihat dalam kebanyakan keluarga, kalau orang itu sudah tua, dia suka sangat suruh tidur. Jalan!
Saya pun mengantuk juga nak tidur. Tapi saya tak mahu tidur. Kalau saya tidur, kita jadi lemah. Lutut-lutut kita tak ada exercise
. Jadi lepas kita tidur, lama-lama sangat tidur, nak bangun pun tak larat, tak kuat,” kata beliau.Mantan Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh ini turut menyentuh aspek berkaitan keupayaan otak apabila memasuki peringkat berusia. Tun Mahathir menggalakkan aktiviti-aktiviti yang boleh mengaktifkan otak. “Satu lagi perkara, pemikiran kita.
Kalau kita tak fikir, otak kita itu kebolehannya berkurangan. Sebab itu walaupun kita sudah berumur, tetapi kita kena aktif. Aktif tubuh badan, aktif akal fikiran. Jadi kalau kita bercakap dengan orang, berbahas dengan orang, menulis, membaca, itu semua activate kita punya brain. Barulah otak mampu kekal aktif,” kata beliau.
Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara Malaysia. Dari segi pendidikan, ekonomi, dan politik, beliau telah meninggalkan kesan yang mendalam dan akan terus dikenang dalam sejarah negara ini. Kepimpinan dan wawasan beliau akan terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Artikel ini diambil dan diolah dari NONA.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.