SETELAH SEDEKAD-HONDA CB1000R 2017 BAKAL TEMUI PEMINAT NOVEMBER INI

Share

Honda CB1000R melakukan debutnya pada 2007 dan sejak itu tiada kemas kini major dilakukan pada model berkenaan. Khabarnya setelah sedekad berada di pasaran, Honda bakal mengeluarkan model CB1000R terbaru.

Versi 2017 itu dikatakan bakal dipertontonkan kepada umum buat kali pertama pada pameran motosikal EICMA yang akan berlangsung awal November depan.

Rombakan besar-besaran dilakukan pada model berkenaan yang mana difahamkan desain CB1000R lebih ke arah retro-moden. Pastinya kehadiran model naked bike itu akan membangkitkan ghairah Honda untuk bersaing dengan jenama lain.

Rekaan motosikal tersebut menggabungkan dua model konsep CB4 dan CB1100TR. Penampilan retro boleh dilihat menerusi penggunaan lampu depan bulat, lengan ayun tunggal dan hendal yang rata.

Versi kemas kini Honda CB1000R akan bersaing dengan Kawasaki Z1000, Suzuki GSX-S 1000 dan BMW S 1000R. Berdasarkan gambaran berkenaan, dapat dilihat Honda merancang untuk muncul dengan sebuah jentera super naked.

Untuk makluman, CB1000R sedia ada di pasaran dilengkapi enjin 998cc 4-silinder penyejukan cecair. Enjin sama yang digunakan pada CBR1000RR Fireblade. Enjin itu menghasilkan kuasa 123.3 bhp pada 10,000 rpm dan tork maksimum 99Nm pada 7,750 rpm. Kuasa itu dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan.

Manakala, bahagian rangka CB1000R menggunakan jenis diamond dengan material aluminium yang ringan dan digabungkan dengan lengan ayun juga dari bahan aluminium.

Spekulasi menyatakan versi kemas kini CB1000R itu akan menggunakan enjin dari CBR Fireblade generasi terkini. Tidak cukup di situ, sistem keselamatan membrek juga dilengkapkan dengan teknologi ABS. Bahkan, pakej elektronik juga dipertingkatkan sebagaimana milik CBR1000RR Fireblade versi terbaru antaranya mod tunggangan, kawalan traksi dan anti-wheelie.

 

Published by
webadmin