Bertemu dan berpisah itu adat manusia. Sama ada untuk menyambung pelajaran, bertukar kerjaya mahupun berpindah di atas sebab peribadi. Setiap orang akan melaluinya dalam kehidupan masing-masing.
Begitu juga dengan pemain bole sepak profesional. Walaupun kerjaya mereka sebagai pemain bola sepak tidak bertahan sampai ke usia tua namun pengalaman yang ditimba bersama pasukan masing-masing telah sedikit sebanyak membentuk mereka bukan hanya sebagai pemain tetapi juga manusia.
Perpindahan pemain ke kelab lain juga satu perkara biasa. Namun bagi pemain yang telah lama menyumbangkan bakti apatah lagi membantu kelabnya mencapai status menjadi lebih elit, ia adalah sesuatu yang lebih istimewa.
Pemain legenda Manchester City dari Argentina, Kun Aguero dikenang sebagai pemain yang telah menjulang pasukannya memenangi pelbagai kejuaran. Dan yang paling diingati semestinya jaringan minit akhirnya yang membantu Manchester City bergelar juara Liga Perdana Inggeris pada tahun 2012.
Jadi tidak hairanlah perpindahannya ke kelab Bercelona di Sepanyol meninggalkan kesan cukup mendalam. Ikatan yang terjalain antara dirinya bersama kelab terutamanya kakitangan kelab merupakan satu kenangan yang pastinya tidak akan dilupakan.
Sebagai tanda terima kasihnya, Aguero telah menghadiahkan setiap seorang kakitangan staf Manchester City dengan seutas jam mewah. Menurut laporan setiap jam tersebut berharga kira-kira dari RM5800 hingga RM9600.
Dia yang kini menjadi pemegang rekod penjaring terbanyak kelab tersebut memilih jam dari jenama Hublot dan Tag Heuer. Paling istimewa di setiap jam itu terukir dengan mesej ‘Gracias – Kun Aguesro!’ yang bermaksud ‘Terima kasih – Kun Aguero!’.
Dan lebih istimewa lagi, Aguero turut menghadiahkan sebuah Range Rover Evoque yang dibelinya baru-baru ini. Setiap staf diberikan cabutan bertuah untuk memenangi kereta tersebut.
Semoga apa yang dilakukan oleh Aguero ini menjadi ikutan lebih ramai lagi pemain.