Melangkah masuk ke Zepp Kuala Lumpur yang menjadi lokasi konsert cukup bersejarah ini menjadi bukti betapa legasi yang dibawa oleh band asal Surabaya bernama Padi ini cukup berpengaruh di negara kita.
Bersempena sambutan ulang tahu penubuhan mereka yang ke-25 tahun, Padi Reborn hadir mengubati rindu peminat mereka di Malaysia terutamanya selepas pandemik yang melanda dunia.
Lima anggotanya iaitu Fadly, Piyu, Ari, Rindra dan Yoyo tampil dengan cukup mesra dan ramah bersama peminat di negara kita. Sempadan dua negara seakan kabur apabila seluruh venue Zepp Kuala Lumpur bergema dengan nyanyian bersama antara band dan peminat.
Rata-rata peminat yang hadir juga kebanyakan berusia penghujung 30-an dan 40-an yang menjadi indikasi legasi dibawa oleh Padi Reborn sejak sekian lama. Pertama kali muncul di arus muzik Indonesia pada tahun 1997 dengan nama Padi mereka kemudiannya tampil semula selepas tujuh tahun ‘berehat’ dengan nama Padi Reborn.
Konsert yang dibawakan secara eksklusif oleh Qew Communications Sdn Bhd ini berlangsung dengan penuh lancar dan amat membanggakan. Membuka pentas persembahan, Padi Reborn terus membawakan dua buah lagu ‘Bayangkanlah’ dan ‘Sang Penghibur’.
Vokalisnya Fadly kemudian mengambil waktu seketika untuk menyapa peminat yang cukup teruja untuk menyaksikan persembahan mereka. Sepanjang malam tersebut, Padi Reborn membawakan sejumlah 23 buah lagu.
Konsert kali ini menjadi lebih indah dengan kemunculan istimewa dari Ratu Jazz negara, Sheila Majid yang berduet bersama Padi Reborn. Kemunculan Sheila Majid di tengah-tengah persembahan ‘Kasih Tak Sampai’ cukup menggemparkan dan disambut dengan sorakan yang gemuruh.
Mereka kemudian menyusul dengan duet sebanyak dua buah lagu popular Sheila Majid iaitu ‘Antara Anyer dan Jakarta’ dan ‘Warna’.
Harapan peminat untuk menyaksikan Padi Reborn mempersembahkan kesemua lagu hits mereka juga tercapai. Lagu-lagu ‘wajib’ seperti ‘Mahadewi’, ‘Sahabat Selamanya’, Seperti Kekasihku’ dan ‘menanti Sebuah Jawaban’ seakan menyaluti kerinduan peminat yang setia menyanyikannya bersama setiap masa.
Persembahan pada malam tersebut diakhiri dengan dua buah lagu encore iaitu ‘Hitam’ dan lagu popular mereka, ‘Begitu Indah’.
Semoga bertemu lagi, Padi Reborn!
Foto kredit: Razak Latif