Gaya hidup minimalis kini semakin popular dalam kalangan masyarakat, terutama bagi mereka yang merasa terbeban dengan banyaknya barang di sekitar mereka.
Pada dasarnya, gaya hidup ini mengajak kita untuk memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang benar-benar penting dan mengurangkan segala yang tidak memberi kebahagiaan atau nilai tambah dalam kehidupan kita.
Apa Itu Gaya Hidup Minimalis?
Minimalisme adalah gaya hidup yang membebaskan kita daripada terikat dengan barang-barang yang jarang digunakan atau tidak memberi manfaat.
Ia adalah cara untuk menjalani kehidupan yang lebih sederhana, bebas daripada kekacauan dan memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang benar-benar penting sahaja.
Gaya hidup minimalis mengajar kita untuk berhenti mengejar keinginan-keinginan yang tidak perlu, serta mengurangkan gangguan yang datang daripada hal-hal yang tidak memberikan makna dalam hidup.
Mengapa Gaya Hidup Minimalis Boleh Membawa Kebahagiaan?
Mengurangkan Stres dan Kekacauan
Memiliki terlalu banyak barang atau pilihan boleh membuatkan kita rasa tertekan, terutamanya bagi mereka yang cenderung ‘OCD’ atau gemar memastikan segala-galanya teratur.
Rumah yang penuh dengan barang atau ruang kerja yang sempit boleh mengganggu fokus dan mengurangkan produktiviti.
Ads
Dengan mengurangkan barang-barang yang tidak digunakan, kita dapat mencipta ruang yang lebih luas, teratur dan tenang seterusnya memberikan rasa ketenangan di dalam diri.
Fokus pada Perkara yang Lebih Penting
Dengan mengurangkan barang-barang yang tidak memberi makna, kita lebih mudah memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang benar-benar berharga seperti keluarga, persahabatan, hobi atau pencapaian peribadi.
Gaya hidup minimalis mengingatkan kita untuk berhenti mengejar hal-hal material yang hanya memberikan kepuasan sementara dan sebaliknya beralih kepada pengalaman yang lebih bermakna dan berkesan.
Memberi Waktu Lapang dan Tenaga untuk Diri Sendiri
Apabila kita tidak lagi sibuk membeli barang atau menjaga koleksi yang tidak penting, kita mempunyai lebih banyak masa untuk diri sendiri.
Ads
Waktu ini boleh digunakan untuk aktiviti seperti bersenam, ‘healing’ atau melakukan perkara-perkara yang kita minat tanpa memikirkan kekacauan.
Ini memberi kita peluang untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental dengan lebih baik.
Bijak Menguruskan Kewangan
Gaya hidup minimalis juga dapat membantu kita lebih bijak dalam menguruskan kewangan. Dengan mengurangkan pembelian barang-barang yang tidak diperlukan, kita boleh menabung lebih banyak, melabur untuk masa depan atau menggunakan wang untuk pengalaman yang lebih memberi kebahagiaan jangka panjang.
Ia mengubah kita menjadi lebih berhati-hati dalam pengurusan kewangan dan menjauhkan diri daripada pembelian impulsif.
Ads
Gaya Hidup Minimalis, Bukan Sekadar Tren, Tetapi Pilihan!
Gaya hidup minimalis bukan sekadar trend sementara yang datang dan pergi. Ia adalah satu pilihan untuk hidup dengan lebih sedar, lebih ringan dan lebih bermakna.
Dengan mengurangkan barang-barang yang tidak diperlukan, kita membuka ruang untuk kebahagiaan yang lebih besar dan baik dari segi mental, fizikal mahupun kewangan.
Gaya hidup minimalis mengajarkan kita bahawa kebahagiaan tidak terletak pada barang semata-mata atau pencapaian material, tetapi pada kesederhanaan dan kemampuan untuk menghargai apa yang kita ada sekarang.
Jika anda merasa terperangkap dalam kitaran konsumsi yang tiada henti, cuba terapkan sedikit elemen gaya hidup minimalis dalam kehidupan anda dan lihatlah bagaimana hidup anda menjadi lebih ringan, lebih tenang dan lebih bahagia.
Jangan lupa saksikan program realiti kecergasan paling mantap, ‘MASKULIN Who’s Your Bro’ yang akan mula ditayangkan bermula 29 November, setiap Jumaat jam 9 malam di saluran Astro Ria!
Sering abaikan minum minuman panas setiap kali sebelum masuk tidur? Mulai sekarang sila amalkan 5 minuman ini, pilih salah satu sebagai rutin minuman anda, ia bukan sahaja menyegarkan malah menyingkirkan lemak sepanjang anda diulit mimpi indah. Jom cuba!
The Hijau
Siapa yang tidak tahu tentang manfaat hebat teh hijau untuk membuang lemak?
Teh herba yang satu ini sudah lama dipercayai untuk menurunkan berat badan. Jadi, jika anda sekarang dalam proses diet, anda WAJIB memasukkan minuman teh hijau panas ini ke dalam menu diet harian anda.
Supaya ia lebih sedap untuk dinikmati, anda boleh cuba campurkan 1 sudu madu ke dalam satu cawan teh hijau panas. Kemudian tambah 1 hingga 3 titis perahan air lemon. Anda boleh amalkan minum setiap pagi sewaktu perut kosong. Amalkannya setiap hari supaya hasilnya juga terbaik.
Teh Hitam
Teh hitam ini juga bermanfaat untuk membantu anda mendapatkan berat badan ideal. Hampir sama seperti teh hijau, anda boleh tambahkan madu dan juga lemon ke dalam satu cawan teh hitam panas untuk hasil terbaik. Dan minum dalam keadaan perut anda masih kosong pada waktu pagi.
Antara manfaat lain teh hitam adalah mampu meningkatkan metabolisma, membakar kalori, bermanfaat sebagai detox dan juga mengawal nafsu makan supaya anda tidak makan berlebihan.
Teh & Madu
Campurkan 2-3 sudu madu ke dalam satu cawan teh tawar. Pastikan anda meminumnya ketika masih panas. Cara ini dipercayai mampu membantu anda membuang lemak dalam badan, dan menjadikan tubuh lebih langsing.
Amalkan minuman panas ini sebanyak 2-3 kali setiap hari. Ingat! Anda harus menghindari gula untuk cepat langsing bukan? Gantikan dengan madu sahaja.
Teh Kayu Manis
Teh kayu manis juga dapat membantu penurunan berat badan. Caranya dengan campurkan teh tawar panas dengan serbuk kayu manis. Bagi minuman teh kayu manis ini, anda boleh amalkannya dua kali dalam satu minggu, tapi secara konsisten ya, supaya berat badan ideal yang anda impikan boleh direalisasikan.
Teh kayu manis secara semulajadi ia adalah rendah kalori dan membantu anda mengatur kadar gula dalam darah. Jika gula dalam darah anda seimbang, anda akan cenderung untuk memiliki nafsu makan yang tidak besar. Selain itu, teh kayu manis sebenarnya juga dapat membantu anda melancarkan sistem pencernaan.
Kopi Hitam
Kopi hitam atau Black Coffee adalah salah satu jenis minuman panas terbaik untuk menurunkan berat badan. Anda boleh cuba minum kopi hitam panas dua kali sehari dan rasai sendiri perbezaannya. Tapi harus diingat ya, kopi hitam panas ini haruslah tanpa gula.
Minum kopi satu jam sebelum anda lakukan senaman atau sebarang latihan dapat menambah tenaga dan tumpuan supaya anda lebih fokus dan bersemangat. Di samping itu, kopi dapat membantu melindungi sendi yang rosak dan mengurangkan kesakitan setelah latihan kerana di dalam kopi mengandungi zat antioksidan.
Jadi inilah lima jenis minuman panas untuk bantu anda kurus. Ternyata, untuk memiliki berat badan yang ideal, anda tidak perlu menyeksa diri sendiri dengan melakukan diet yang ekstrim, bukan?
Kerana diet pada hakikatnya mengatur gaya hidup yang sihat serta diiringi dengan disiplin dan keinginan yang kuat. Kalau sekadar fokus di permulaan sahaja, sampai bila-bila pun anda tidak akan nampak hasilnya.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Dalam melayari bahtera perkahwinan, sudah pastinya tidak semuanya indah sahaja. Semua itu adalah asam garam rumah tangga yang perlu dirasai setiap pasangan suami isteri.
Pengalaman itu kini telah banyak dizahirkan dalam bentuk jenaka menerusi kandungan-kandungan di media sosial.
Namun adakalanya kandungan sedemikian mungkin dianggap berlebihan dan mampu menimbulkan salah faham mengenai peranan serta tanggungjawab sebenar suami dan isteri di dalam institusi rumah tangga.
Seorang pempengaruh kecergasan dan bina badan yang dikenali sebagai Pijie tampil meluahkan kebimbangan tersebut menerusi satu perkongsian video di laman Tiktoknya.
Dia meluahkan tidak gemar melihat jenaka rumah tangga yang menyerlahkan sisi kurang ajar seorang isteri dan betapa lembiknya seorang suami dalam menangani perkara itu.
“Bila sebut pasal jenaka rumah tangga sahaja kan, orang perempuan mesti kurang ajar. Jenis tak boleh kalah, dah minta maaf salahkan suami balik.
“Kalau tak kurang ajar, mesti merumitkan. Merajuk dengan suami atas sebab-sebab yang tak menentu lah, jeling-jeling suami, tengking-tengking suami.
“Yang lelaki pula mesti lembik, takut bini. Lepas itu bila bini dia kurang ajar, dia tak buat apa-apa. Buat bodoh, nak tegur bini pun takut,” ujarnya di dalam video tersebut.
Itukah Yang Diajar Rasulullah SAW?
Meskipun memahami yang kandungan sebegitu hanyalah sekadar jenaka, namun dia bimbang perkara itu lama-kelamaan akan dianggap biasa oleh masyarakat.
“Sebenarnya adakah normal isteri-isteri dekat Malaysia ini tak hormat suami? Normal kah orang lelaki ini takut dengan bini?” soalnya.
“Benda itukah yang Rasulullah SAW ajar dekat kita? Saya rasa tidak”.
Oleh itu, dia mengharapkan agar pencipta kandungan media sosial menghentikan kandungan-kandungan yang dianggap bodoh ini.
“Maaflah kalau saya cakap benda itu bodoh, tapi bagi saya memang benda itu bodoh sebab seorang wanita Islam tidak sepatutnya bersikap begitu dan seorang lelaki Islam tidak sepatunya bersikap begitu,” tegasnya lagi.
Pijie yang juga seorang suami itu turut bersyukur perkara sedemikian tidak berlaku di dalam rumah tangganya selain berharap ia juga tidak berlaku di dalam rumah tangga orang lain.
Tidak sekadar meraih kejayaan di Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445H/2024M, anak muda ini turut cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan baru-baru ini.
Mewakili negeri Johor, Muhammad Asyraf Amir berjaya meraih markah sebanyak 97.33 peratus bagi Kategori Hafazan Tahap 1 hingga 20 Juzuk (Lelaki) sekaligus melayakkannya sebagai johan kategori itu di MTHQK2024.
Kemenangan itu diserikan lagi dengan kecemerlangannya di bidang akademik apabila Asyraf berjaya meraih keputusan 12A dalam SPM.
Lebih menarik, Asyraf yang meraih 7A+ dan 5A itu terkenang bagaimana dia terpaksa mengejar masa apabila peperiksaan SPM bagi mata pelajaran Prinsip Perakaunan yang diambilnya dijadualkan hanya sehari selepas tarikh pertandingan hafazan di peringkat negeri tahun lalu, demikian ujarnya kepada Berita Alhijrah.
Memetik laporan Berita Tengah Hari RTM, Asyraf berkongsi bagaimana dia membahagikan masa untuk mengulangkaji pelajaran dan menghafaz Al-Quran.
“Sesuaikan ikut keutamaan. Kalau sedang peperiksaan, kita utamakan peperiksaan. Sekiranya ada masa untuk Al-Quran itu baru kita selitkan. Jangan kosonglah, selitkan sikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat MTHQK20204 pada Selasa.
Dalam satu klip video temu bual berasingan yang dimuat naik di Instagram rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula, Asyraf mengakui dia juga kadangkala tidak sempat melakukan murojaah (kaedah mengulang ayat Al-Quran untuk menghafal) disebabkan sibuk dengan kelas tuisyen dan sebagainya.
Bagaimanapun, Asyraf bersyukur dia masih diberikan kemampuan untuk mengimbangkan kedua-dua pelajaran dan hafazan atas bimbingan guru-gurunya.
Dalam pada itu, Asyraf menekankan kepentingan untuk mempelajari Al-Quran seawal usia
“Sebab bila kita makin besar makin banyak tanggungan, bila kita tak jaga Al-Quran itu betul-betul daripada masa kita kecil-kecil, maka bila dah besar itu dia akan jadi susah,” ujar Asyraf menerusi video itu.
Bagi kategori sama, naib johan disandang oleh wakil dari Perak, Muhammad Hakim Rusli dengan markah sebanyak 97.13 peratus manakala tempat ketiga disandang oleh wakil dari Melaka, Muhammad Abdullah Tuah dengan markah sebanyak 96.11 peratus, demikian menurut keputusan penuh yang dilaporkan Alhijrah Online.
Untuk rekod, MTHQK Tahun 1445H/2024M berlangsung selama enam hari di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan, Pahang bermula pada 23 hingga 28 Mei 2024.
Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah wakil rasmi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.