Untungnya jadi lelaki! Kajian mengatakan lelaki mudah kurus  dan turunkan berat badan berbanding wanita. Ramai wanita yang merungut susah nak turunkan berat badan walaupun mereka dah buat macam-macam. Kalau berat mereka turun pun agak perlahan dan lambat.

Sebenarnya memang ada perbezaan yang ketara antara lelaki dan wanita, malah lelaki lebih mudah mencapai sasaran menurunkan berat berbanding wanita. Perkara ini diperakui oleh pakar selepas pelbagai kajian dan penyelidikan tentang perbandingan jantina dilakukan.

Jurnal Diabetes, Obesiti dan Metabolisme yang dikaji oleh sekumpulan saintis telah menghimpunkan lebih daripada 2,000 orang dewasa yang berdepan dengan masalah pra-diabetes dan obesiti dari Eropah, Australia dan New Zealand.

Kesemua individu ini menjalani diet 800 kalori sehari yang terdiri daripada sup dan bijirin selama lapan minggu dan makan 375 gram sayur-sayuran rendah kalori yang terdiri daripada tomato, timun dan salad.

Selepas tempoh lapan minggu, saintis mendapati golongan lelaki turun berat badan paling banyak iaitu purata 11.8 kg berbanding wanita hanya sekitar 10.2 kg. Selain berat badan, kajian juga mendapati kadar lemak dalam badan turun.

Bukan itu sahaja, 35% lelaki dan wanita melaporkan tahap glukosa darah cenderung normal dan tidak lagi pra-diabetes. Pra-diabetes merupakan keadaan kadar gula darah bermula di atas normal, tetapi tidak sehingga diabetes.

IKLAN

Secara umumnya, ini membuktikan lelaki mempunyai metabolisme lebih tinggi dan lebih lemak viscera. Malah disebabkan lelaki mengambil lebih banyak kalori setiap hari daripada wanita, maka kesan pengurangan kalori lelaki akan lebih cepat.

Ini 5 sebab kenapa lelaki lebih mudah hilang berat badan seperti yang dilaporkan dalam beberapa laman portal kesihatan menurut kajian oleh penyelidik.

1. Lelaki membakar kalori dengan lebih mudah

Portal Verywell menerusi sebuah kajian yang diterbitkan dalam Journal of Applied Physiology mendapati lelaki mempunyai 10 hingga 15% lebih banyak otot daripada wanita. Semakin banyak otot yang lelaki miliki, maka lebih banyak kalori yang akan dibakar, walaupun korang dalam keadaan rehat. Ini kerana otot adalah bahagian tubuh yang aktif metabolik, maka ia cenderung untuk membakar lebih mudah apata lagi jika ditambah dengan senaman yang konsisten.

Bagi wanita pula, lemak subkutan yang meraka miliki melekat pada permukaan kulit. Biasanya, lemak ini tersebar di sekitar paha, punggung dan pinggul kerana ia akan digunakan untuk melahirkan anak. Ia tidak aktif secara metabolik maka sukar untuk dibakar dengan aktiviti atau senaman.

2. Hormon estrogen wanita ‘suka’ lemak

Hormon estrogen dalam tubuh wanita berperanan penting untuk penyediaan mereka semasa bersalin anak dan meningkatkan libido hubungan intim. Malah hormon ini juga menyebabkan wanita sukar menurunkan berat badan.

Menurut penyelidik dari Universiti New South Wales, estrogen membakar kalori lebih banyak selepas makan kerana ia memulihkan jumlah lemak yang terkumpul di dalam badan. Lemak ini kemudiannya digunakan sebagai persediaan untuk melahirkan anak, terutamanya di bahagian pelvis wanita.

3. Tubuh lelaki cepat memberi reaksi

Disebabkan kadar metabolisme yang tinggi dan hormon, tubuh lelaki memberi reaksi segera apabila korang dalam usaha menurunkan berat badan. Menurut Jurnal Nutrisi British, lelaki dua kali lebih banyak kehilangan berat badan dalam tempoh dua bulan pertama selepas menyertai program diet seperti Atkins, Slim-Fast dan Weight Watchers berbanding wanita. Namun selepas bulan ke-6, kadar penurunan agak statik manakala wanita kekal menurun walaupun pada tahap perlahan.

4. Wanita makan apabila beremosi

Tidak seperti lelaki, wanita tergolong dalam kategori “emotional eater” atau pemakan emosi. Menurut penyelidik dari Makmal Kebangsaan Brookhaven, apabila wanita terdedah kepada bau atau melihat makanan tertentu, niat makan mereka lebih tinggi berbanding lelaki.

Apabila wanita stres, panik atau depresi, mereka mudah memberikan respons terhadap makan. Kalau lelaki pula lebih memilih rokok, minum alkohol atau terlibat dalam aktiviti lain untuk menghilangkan stres, panik atau depresi.

5. Wanita lebih mudah dan cepat panas letih ketika bersenam

Apabila bersenam wanita cenderung untuk rasa cepat panas, mudah letih dan lemah kerana kapasiti paru-paru wanita lebih kecil berbanding lelaki. Ini menyebabkan sistem pernafasan wanita terpaksa bekerja keras untuk memproses oksigen ke dalam badan ketika mereka bersenam, selain menyebabkan lemak subkutan dalam tubuh wanita tidak terbakar dengan cepat seperti otot lelaki.