Gaya hidup yang sibuk pada masa kini menjadikan ramai orang sukar mencari masa yang sesuai untuk menyelitkan aktiviti senaman dalam rutin harian mereka. Namun tahukah anda yang tiada masa yang tidak sesuai untuk bersenam? Anda boleh saja bersenam di awal pagi, petang, bahkan malam. Namun perlu diingat yang bersenam di waktu-waktu ini mempunyai manfaat yang berbeza.
Senaman pagi memberi manfaat kepada kecerdasan minda kerana ia membantu meningkatkan kejelasan mental dan fokus, serta mempersiapkan minda untuk aktiviti sepanjang hari. Selain itu, ia juga boleh membantu meningkatkan peredaran darah dan memberi kesegaran kepada tubuh selepas tidur. Bersenam di awal pagi turut membantu anda menjadualkan aktiviti secara konsisten kerana ia dilakukan sebelum gangguan harian muncul.
Melakukan senaman di waktu petang boleh membantu mengatasi keletihan dan memberi peningkatan tenaga yang diperlukan untuk menjalankan tugas.Senaman pada waktu ini boleh membantu meningkatkan suhu badan dan prestasi atletik, menjadikannya sesuai untuk latihan yang lebih intensif. Selain itu, ia turur membantu membakar kalori yang telah diambil ketika makan tengah hari.
Senaman di waktu malam boleh membantu anda tidur lebih nyenyak, terutamanya jika anda melakukan senaman santai seperti yoga atau jalan kaki. Selain itu, senaman malam dapat membantu melepaskan ketegangan dan stres yang terkumpul sepanjang hari. Bagi sesetengah individu, mereka mungkin merasakan bahawa mereka mempunyai lebih banyak tenaga di waktu malam, menjadikannya sesuai untuk latihan jasmani yang lebih sukar.
Bagaimanapun, manfaat senaman pada waktu tertentu juga bergantung kepada jadual harian dan keutamaan individu. Yang paling penting adalah konsistensi dalam menjalankan senaman untuk mendapatkan faedah kesihatan yang optimum.