Penjagaan Diri

Senaman Kaki Tanpa Perlu Ke Gim

Share

Dalam era moden yang serba pantas ini, mencari masa untuk ke gim mungkin menjadi cabaran bagi kebanyakan orang. Namun, kesihatan dan kecergasan tidak seharusnya diabaikan. Jurulatih kecergasan Saiful Syahmi Mohd Nashruddin, atau lebih dikenali sebagai Coach Syahmi, membawakan solusi mudah untuk senaman kaki yang boleh dilakukan di rumah tanpa memerlukan peralatan gim.

Squat

Menurut Coach Syahmi, squat dikenali sebagai “mother of exercise” kerana ia melibatkan banyak otot lain. Ia merupakan salah satu senaman terbaik untuk membina kekuatan dan kestabilan kaki.

Untuk melakukan senaman ini, anda perlu berdiri tegak dan memastikan kedudukan kaki, lutut, pinggul dan bahu adalah selari.

Foto: Posisi sebelum mulakan senaman. Kedudukan bahu, pinggul, lutut dan kaki adalah selari.

Kemudian, turun kan badan anda sehingga menghampiri posisi mencangkung. Tetapi, pastikan kedudukan lutut anda masih selari dengan kaki anda.

Foto: Posisi squat.

Ketika melakukan senaman ini, penting untuk anda sentiasa memastikan wajah anda memandang ke hadapan untuk mengelakkan kedudukan kepala yang menunduk atau mendongak. Kedudukan kepala yang salah berkemungkinan boleh menjejaskan bahagian tulang tengkuk anda.

Foto: Posisi kepala yang betul (kiri) dan yang salah (kanan) ketika melakukan squat.

Coach Syahmi mencadangkan agar senaman ini dilakukan sebanyak 20 kali untuk tiga hingga lima set.

Back Lunges

Lunges merupakan satu senaman kaki yang sangat bermanfaat dan amat rugi jika tidak digandingkan bersama squat.

Berbeza dengan lunges biasa, Coach Syahmi mencadangkan untuk melakukan variasi jenis back lunges, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah lutut.

Seperti melakukan squat, anda perlu bermula dengan berdiri tegak dan memastikan kedudukan kaki, lutut, pinggul dan bahu adalah selari.

Berbanding lunges biasa yang memerlukan anda untuk mengambil satu langkah besar ke hadapan, back lunges memerlukan anda untuk mengambil satu langkah besar ke belakang.

Foto: Senaman back lunges secara isolate.

Menurut Coach Syahmi, kedudukan sebegini untuk mengurangkan tekanan pada bahagian lutut, disebabkan itulah variasi ini dikatakan lebih mesra pesakit lutut.

BACA: Latih Otot Trisep, Ia Menyumbang Dua Pertiga Dari Saiz Lengan Anda

Kemudian, turunkan badan sehingga kedua-dua lutut membentuk sudut 90 darjah.

Foto: Senaman back lunges secara alternate.

Anda boleh melakukan senaman ini secara isolate, ataupun secara alternate iaitu berselang-seli di antara kedua-dua kaki

Tonton video penuh di saluran Youtube MASKULIN untuk panduan lebih terperinci daripada Coach Syahmi.

 

Published by
Ruszaini Ruslan