Kini, semakin ramai golongan muda juga terdedah kepada risiko serangan jantung tambahan lagi yang aktif bersenam.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Mohammad Farhan Rusli, menyatakan bahawa tidur yang tidak berkualiti juga boleh menjadi punca kepada serangan jantung dalam jangka panjang.
“Bagi kebanyakan orang, senaman yang dilakukan dengan betul atau pada masa yang sesuai tidak akan mengakibatkan masalah kesihatan yang serius.
“Penting untuk kita mengetahui isyarat tubuh sendiri dan berunding dengan doktor sebelum memulakan sebarang aktiviti serta senaman yang intensif.
“Ini termasuk berlatih untuk pertandingan Ironman atau maraton yang panjang dan sebagainya,” katanya.
Pada Ahad lepas, dunia dikejutkan dengan berita duka pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie, yang disahkan meninggal dunia sekitar jam 11.20 malam akibat serangan jantung ketika beraksi dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2024 di Yogyakarta, Indonesia.
Dr. Mohammad Farhan menjelaskan bahawa senaman berat boleh meningkatkan tekanan fisiologi terhadap tubuh individu.
Katanya lagi, ia mungkin menyebabkan kadar kortisol atau hormon stres bertambah dan memberi tekanan berlebihan kepada sistem kardiovaskular.
“Apabila mereka melakukan senaman terlalu dekat dengan waktu tidur, ia boleh meningkatkan hormon stres pada tubuh masing-masing.
“Masalah tersembunyi seperti penyakit jantung juga mungkin tidak diketahui, dan boleh menjadi penyebab rebah semasa bermain sukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Mohammad Farhan menasihati orang ramai untuk menjalani saringan kesihatan yang komprehensif secara berkala untuk mengenal pasti penyakit pada peringkat awal, sekali gus mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Sumber: Sinar Harian