Ali XPDC yang dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas sudah menunjukkan perkembangan yang baik selepas seminggu dibenarkan pulang ke rumah.
Perkara itu disahkan isterinya Sharifah Azuwanna Syed Joned, 52, menerusi laporan Harian Metro
“Alhamdulillah, semangat suami sangat kuat untuk sembuh. Dia juga sudah boleh menyanyi lagu nada tinggi di karaoke semalam,” kata Sharifah Azuwanna.
Sharifah Azuwanna berkata, suaminya juga mahu kembali menyanyi selepas seminggu keluar dari hospital dan berehat di rumah.
Tambahnya, Ali juga kini boleh berjalan tanpa bantuan kerusi roda.
“Kalau setakat menyanyi satu atau dua lagu secara santai dan sambil duduk tu sudah bolehlah,” katanya.
Mengenai persembahan lagi, kata Sharifah Azuwanna, suaminya juga merancang untuk kembali menjayakan persembahan bersama kumpulan XPDC.
“Suami beritahu dia mahu segera sembuh kerana mahu kembali buat persembahan bersama kumpulan XPDC.
“Saya bersyukur dengan peningkatan tahap kesihatan suami kerana dia sudah boleh menyanyi lagu nada tinggi ketika berlatih di karaoke.
“Namun, buat masa ini, suami belum memiliki keupayaan dari segi stamina untuk buat persembahan di konsert lagi,” katanya.
Bagaimanapun Sharifah Azuwanna berkata Ali masih perlu menjalani rawatan susulan membabitkan masalah jantungnya yang bengkak di klinik nuklear, Hospital Putrajaya, pagi esok.
“Masalah paru-paru berair sudah okay selepas doktor beri ubat untuk lawas kencing. Cuma rawatan susulan di hospital nanti untuk merawat masalah jantung bengkak sahaja lagi.
“Suami juga dijadualkan buat rawatan susulan mengenai masalah jantung bengkak itu di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada Ogos nanti,” katanya.
18 April lalu, Ali dikejarkan ke wad kecemasan, Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang kerana mengalami sesak nafas di kediamannya di Bandar Baru Salak Tinggi jam 11 pagi ketika majlis penyerahan sumbangan kerusi roda.
Sumber: Harian Metro
BACA: Pempengaruh Kecergasan Tegur Kandungan Jenaka Isteri Kurang Ajar, Suami Lembik