Sejak berlakunya penularan wabak COVID-19 berskala global banyak pihak tampil ke depan memberikan pelbagai ciptaan dan inovasi dengan tujuan membantu pihak kerajaan dan juga orang ramai.
Di antara alat yang diperhatikan semakin diketengahkan ialah terowong nyah cemar atau penggunaan semburan nyah cemar yang dikatakan mampu mencegah penularan COVID-19.
Niat murni yang datang daripada pelbagai insitusi atau pertubuhan yang memperkenalkan alat ini cukup difahami. Ia tidak lain dan tidak bukan untuk membantu orang ramai.
Namun sebenarnya menggunakan penyembur nyah cemar ke atas manusia adalah tidak disarankan. Perkara ini dimaklumkan oleh Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Jemilah Mahmood.
Pemakluman mengenai perkara ini turut diutarakan oleh beliau menerusi satu ciapan di Twitter kendaliannya.
Jelasnya, penggunaan penyembur nyah cemar terhadap orang ramai juga tidak disarankan oleh World Health Organization (WHO) seperti yang termaktub dalam garis panduan pengendalian COVID-19.
“Pertama sekali ia seharusnya tidak membahayakan. Penggunaan cara ini tidak disarankan dan bertentangan dengan garis panduan ditetapkan WHO. Hentikan sebelum ia memberi kesan buruk kepada orang ramai”.
Beliau yang juga merupakan Pengasas Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) melakukan hantaran di Twitter membalas laporan oleh sebuah portal berita tempatan yang melaporkan sebuah universiti tempatan menghasilkan peralaran nyah cemar dengan sistem semburan ke atas badan.
Penggunaan semburan seluruh badan tidak digalakkan kerana penggunaan klorin atau alkohol tidak akan dapat membunuh virus yang sudah memasuki badan.
Malah bahan tersebut juga boleh membahayakan anggota badan seperti mata dan mulut. Oleh itu lebih baik kita terus mengamalkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan menggunakan sabun atau sanitizer serta menjaga penjarakkan sosial sekurang-kurangnya satu meter.