Alasan yang diberikan oleh si suami memukul isterinya adakalanya tidak masuk akal. Tukang rumah berkenaan memukul isteri pertamanya hingga cedera pada bibir kerana tidak tahan mendengar bebelan wanita terbabit. Ada juga yang memukul isteri kerana tidak diberi wang untuk digunakan membeli dadah atau berjudi. Ada pula suami yang cakap dia pukul isterinya sebab nak mengajar tetapi pukul isteri sampai lebam-lebam.
Memukul isteri sebenarnya dibenarkan oleh Islam bagi tujuan mengajar. Namun begitu, ia dikhaskan kepada isteri yang nusyuz atau derhaka dengan mengingkari perintah suami dalam perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan syarak. Contohnya, enggan solat walaupun telah dinasihatkan berulang kali atau keluar rumah tanpa izin suami.
Malangnya, dalam masyarakat kita, kes pukul isteri ini selalunya bukan sebab melanggar hukum Allah sebaliknya kerana bertengkar dan berselisih faham antara suami isteri.
Keharusan memukul isteri itu juga datang dengan syarat yang perlu dipatuhi setelah segala proses mendidik, memujuk dan menasihat gagal. Pukulan yang dilakukan juga merupakan pukulan yang ringan dan untuk memberi kesedaran sahaja. Suami dilarang sama sekali memukul pada wajah dan tidak boleh memukul sehingga menimbulkan kesan atau membahayakan isteri. Isteri yang kita nikahi atas dasar suka sama suka dan cinta itu bukanlah punching bag untuk kita lepaskan kemarahan.
Memang benar, dalam sesebuah keluarga, suami sebagai ketua keluarga memang kadangkala perlu menunjukkan kuasa veto mereka. Namun tidak perlulah menggunakan kekerasan dalam menzahirkan kuasa yang ada. Adakah perbuatan memukul isteri ini dapat menunjukkan sifat kejantanan si suami? Suami sepatutnya melindungi isteri mereka dan bukan sebaliknya dengan memukul mereka sewenang-wenangnya. Hanya lelaki dayus berbuat demikian.
Jika ditakdirkan tiada lagi jodoh, jangan dipukul atau dicederakan isteri. Sebaliknya pulangkan mereka dengan baik sebagaimana mula-mula menyunting mereka sebagai suri hati dahulu.
Jika seorang bapa mengetahui perbuatan ‘ringan-ringan’ anak perempuan atau lelaki mereka dan membiarkannya, maka dia adalah dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah ‘ringan-ringan’ atau terlanjur sebelum kahwin dan tanpa taubat yang sebenar-benarnya, sudah pastilah rumah tangga mereka akan goyah.
Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka, demi menjaga maruah dan kehormatan isteri serta anaknya.