Berita

Selepas 63 Tahun, Pengakap Malaysia Kini Hadir Dengan Pakaian Seragam Baharu

Share

Mungkin rata-rata daripada anda pernah menjadi ahli pengakap sama ada ketika di bangku sekolah atau pun di peringkat pengajian tinggi. Ia merupakan satu badan beruniform yang mempunyai tempat cukup istimewa di hati ramai ahlinya di seluruh negara.

Tidak dinafikan juga ramai yang mungkin ada kenangan cukup manis mengikuti segala macam aktiviti seperti jambori yang cukup sinonim dengan pengakap. Imej pengakap dengan pakaian seragamnya pasti tersergam di minda masing-masing.

Namun selepas 63 tahun, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) kini memperkenalkan pakaian seragam baharu. Ia dikatakan lebih segar sejajar dengan perkembangan dunia kepengakapan moden pada era ini.

Menurut Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin, pakaian seragam yang terdiri daripada baju berwarna ‘emerald sea’ dan seluar berwarna ‘aspen green’ disifatkan lebih menarik dan efektif dengan reka bentuk baharu.

LANGKAH EFISIEN

Keputusan menukar pakaian seragam adalah satu langkah yang efisien bagi memastikan pergerakan kepengakapan negara sentiasa relevan dan dinamik dalam menyokong pembangunan golongan muda.

Selain itu ia juga dapat membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa di pasaran.

“PPM sentiasa proaktif dalam memastikan pergerakan kepengakapan negara terus bergerak selari dengan peredaran zaman. Sejak diasaskan di negara ini pada tahun 1908, pergerakan kepengakapan melalui pelbagai fasa evolusi dan perubahan bagi memastikan ia terus relevan dan dinamik dalam melahirkan pemimpin masa depan negara.

“Selepas 63 tahun tidak tampil dengan pakaian seragam baharu, PPM dengan sukacitanya mengumumkan pertukaran warna pakaian seragam kepada warna yang lebih segar dan moden yang dinamakan Pakaian Seragam Pengakap No. 3.

“Selain memberikan wajah baharu kepada pergerakan pengakap, langkah ini juga menjadi mekanisme baharu yang penting dalam usaha kita untuk mengawal dan membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa.

“Ini adalah langkah proaktif yang diambil untuk memastikan imej dan integriti pergerakan ini sentiasa terpelihara dengan sebaik-baiknya. Terima kasih saya ucapkan kepada Seri Pertiwi yang turut sama bertungkus-lumus dalam memberikan input untuk pertukaran pakaian seragam ini,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pakaian Seragam Pengakap No. 3 di ibu pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia baru-baru ini.

SECARA BERPERINGKAT

PPM akan memberi kelonggaran kepada ahli untuk menggantikan pakaian seragam lama kepada yang baharu secara berperingkat.

“PPM ingin menekankan bahawa pelaksanaan pertukaran pakaian seragam ini tidak akan membebankan ibu bapa atau ahli. Proses ini akan dilaksanakan secara berfasa, dan pakaian seragam lama masih boleh digunakan dalam tempoh peralihan iaitu tiga tahun lagi.

“Tiada paksaan kepada mana-mana ahli untuk menukar pakaian seragam mereka. Bagi pelajar yang kurang berkemampuan, mereka boleh memakai skarf untuk menyertai sebarang aktiviti

“Penggunaan warna kelabu sebelum ini didapati menimbulkan permasalahan, terutamanya dalam mendapatkan tona yang konsisten. Dengan warna baharu yang dipilih, ia diharapkan dapat menyediakan penyelesaian yang lebih praktikal dengan pakaian yang lebih seragam secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, PPM berharap pertukaran pakaian seragam baharu dapat menarik lebih ramai ahli baharu sekali gus mempertingkatkan pertumbuhan keahlian.

“Ia adalah satu pencapaian besar yang menunjukkan PPM sedang memasuki fasa baharu. Kita sepatutnya berbangga kerana berjaya merealisasikan usaha penyegaran jenama pengakap ke arah sebuah pergerakan yang lebih berketrampilan dan moden selaras dengan misi dan misi Pengakap Dunia.

“Pakaian seragam baharu ini adalah lambang identiti dan kebanggaan bagi setiap ahli PPM. Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk menghargai dan memelihara pakaian seragam ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim