Selangor Benarkan Solat Jumaat & Solat Fardhu Berjemaah 40 Orang Di 39 Buah Masjid Terpilih Hari Ini

Share

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu dilakukan dengan 40 jemaah, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, di 39 buah masjid terpilih di negeri itu bermula hari ini.

Perkara ini diumumkan dalam satu kenyaatan akhbar Duli Yang Maha Mulia (D.Y.M.M.) SULTAN SELANGOR bertarikh 11 Jun 2020 sebagaimana yang dikongsikan di laman Facebook Jabatan Agama Islam Selangor.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata Sultan Sharafuddin membuat keputusan itu selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Mufti Selangor bersama Timbalan Mufti, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tentang kewajaran pelaksanaan Solat Jumaat dan Solat Fardhu secara berjemaah di masjid dan surau di Negeri Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Demi menghidupkan pusat penyatuan umat Islam di Negeri Selangor ini, Sultan Sharafuddin telah berkenan agar masjid dan surau di Negeri Selangor dibuka secara berperingkat.

Berikut adalah keputusan yang telah dipersetujui dan diperkenankan oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor:

1. Pelaksanaan Solat Jumaat dan Solat Fardhu Berjemaah hendaklah dilaksanakan berkuatkuasa pada hari Jumaat, 12 Jun 2020.

2. Jumlah kehadiran jemaah bagi Solat Jumaat ditambah daripada 12 orang kepada 40 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa masjid di 39 buah masjid-masjid yang telah ditetapkan sebelum ini. Kad akan diedarkan kepada 40 orang untuk hadir pada Solat Jumaat tersebut.

3. Bagi yang tidak dapat menunaikan Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan Solat Zohor dan dilakukan di tempat masing-masing.

4. Solat berjemaah adalah dibenarkan bagi Solat Fardhu Subuh, Maghrib dan Isyak sahaja di 39 buah masjid-masjid yang sama, dengan jumlah kehadiran 40 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa masjid.

5. Semua surau termasuk Surau Kebenaran Solat Jumaat masih tidak dibenarkan untuk dibuka melainkan 3 orang Pegawai Surau seperti yang ditetapkan terdahulu.

Penggunaan masjid pada Solat Jumaat dan Solat Fardhu berjemaah hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pihak JAIS telah menyediakan dan akan menguatkuasakan Garis Panduan lengkap tentang tatacara pelaksanaan Solat Jumaat dan Solat Fardhu berjemaah untuk dipatuhi oleh semua jemaah yang hadir ke masjid.

Pegawai dan ahli jawatankuasa Masjid diberi tanggungjawab penuh di dalam mengendalikan dan menguatkuasakan Garis Panduan yang ditetapkan. Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia dan JAIS akan melakukan pemantauan secara berterusan terhadap kesemua 39 buah masjid yang dibenarkan ini.

Sehubungan dengan itu, pegawai dan jawatankuasa masjid, ahli jemaah yang hadir serta seluruh umat Islam di Negeri Selangor diminta untuk mematuhi segala arahan dan mengamalkan sikap displin yang tinggi pada setiap masa.

D.Y.M.M. Sultan Selangor akan mengikuti perkembangan dan meneliti keberkesanan Garis Panduan yang ditetapkan serta pematuhannya dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan pembukaan lebih banyak masjid dan surau di Negeri Selangor.

KEKALKAN DISIPLIN DAN PATUHI SEGALA GARIS PANDUAN

Dato’ Haji Mohamad Munir bin Bani, D.P.M.S., J.S.D.
Tarikh : 11 Jun 2020

Published by
RY