Kesihatan lelaki bukan hanya tertumpu pada fizikal semata-mata, namun ia turut mempengaruhi nilai kecergasan juga tahap kebolehan seseorang lelaki itu dalam perihal reproduktif. Apabila berbicara mengenai masalah mati pucuk, kemandulan rata-rata lelaki akan berpaling dan menyalahkan kaum wanita, terlalu ego dan malu untuk berjumpa pakar, akhirnya rumah tangga derita menanti retak. Bersama Dr Say Shazril berbicara santai mengenai isu yang punya kaitan rapat dengan gaya hidup sihat lelaki yang sering kali dipandang remeh ini.
LELAKI CUKUP EGO BILA BERBICARA MENGENAI ISU KESUBURAN MEREKA
Menerusi tiga siri perkongsian di Instagram, doktor berusia 30 tahun itu bercerita mengenai kisah rumah tangga termasuk ujian kesuburan yang dilakukannya.
Biarpun berkecimpung dalam bidang perubatan, Dr Say berkata, dia juga sama seperti insan lain yang tidak terlepas daripada masalah kesihatan.
“Kesihatan diri mencerminkan identiti kita sebagai doktor. Namun, disebabkan kekangan jadual kerja yang padat kadang-kala kita terlepas pandang.
“Apabila saya membuat pemeriksaan, saya mendapat tahu pengambilan kafein dan minuman berkarbonat menjadi punca masalah kesuburan saya.
“Maka bermulalah perubahan gaya hidup saya. Sesiapa yang ikuti Instagram mesti perasan saya rajin masak sendiri, pagi-pagi sarapan ambil tea instead of coffee, pepsi black memang saya buang. Semua demi bini,” ujarnya lagi.
Dr Say mengakui ramai golongan suami yang menghubunginya bagi bertanya mengenai soal rawatan kesuburan setelah dia membuat perkongsian di Instagram. Dia yang sudah menjalani pemeriksaan sekitar Julai lalu turut positif dan berharap agar usahanya untuk memperolehi cahaya mata akan berhasil tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Dr Say turut menggariskan beberapa tip untuk kesuburan lelaki.
Katanya, aspek pemakanan sangat memainkan peranan penting, termasuklah pengambilan rokok, alkohol dan aspek pemakaian khususnya seluar yang ketat.
“Kepada mereka di luar sana, fikir masa depan dan pasangan. Kalau ego dan malu, cuba letakkan diri kat tempat isteri,” ujarnya lagi.
Namun, beberapa siri perkongsian doktor tampan lagi popular, Dr Muhammad Shazril Shaharuddin, menerusi laman Instagram ternyata membuka mata ramai pihak khususnya golongan lelaki berhubung topik itu. Semoga daripada perkongsian Dr Say ini dapat memberi manfaat dan membantu anda diluar sana.
Sumber : Instagram say_shazril