Khasiat cuka epal memang tak boleh disangkal lebih-lebih lagi untuk membuang lemak. Ia telah digunakan oleh orang Greek dan Mesir sejak beribu tahun dahulu sebagai makanan dan ubatan.
Khasiat cuka epal ini mula diberi perhatian setelah Dr D.C. Jarvis, penulis buku kesihatan, mengesyorkan cuka epal sebagai produk masakan yang sihat yang boleh diamalkan setiap hari sebagai “home cure” (ubat di rumah).
Selain khasiat cuka epal untuk kesihatan tubuh badan, Jarvis juga mengesyorkan agar cuka epal dicampurkan dengan madu untuk membuat air ‘honergar’ (madu + cuka epal).
Jika anda nak kurangkan rasa masam, campurkan cuka epal dengan sesudu madu. Untuk dapatkan hasil terbaik, minum dua kali sehari.
Jom ketahui 8 lagi khasiat cuka epal, selain buang lemak.
Detox berfungsi mengeluarkan toksin dan bahan berlebihan yang tidak diperlukan oleh tubuh. Amalan ini boleh membersihkan toksin yang tersumbat dalam peredaran darah yang menyebabkan penyakit darah tinggi, jantung dan peningkatan kolestrol. Kesannya, peredaran darah akan menjadi bersih dan sihat, selain dapat mengembalikan metabolisme tubuh menjadi normal.
Dalam kajian 2013 yang diterbitkan dalam International Journal of Obesity, penyelidik mendapati bahawa cuka epal dapat menyekat selera makan. Ini secara tidak langsung dapat membantu anda mengawal nafsu makan dalam proses menurunkan berat badan. Sebelum anda memulakan apa-apa diet, pastikan anda rujuk dengan ahli dietetik atau doktor untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Walaupun penemuan ini memerlukan lebih banyak kajian, namun pada tahun 2006 penyelidik telah menemui bahawa asid asetik yang ada dalam cuka boleh mengurangkan paras kolestrol di dalam badan tikus makmal. Malah satu kajian lain yang dijalankan di Jepun mendapati, orang yang mengambil 15 gram cuka epal setiap hari boleh mengurangkan tahap kolestrol bagi orang yang terlibat dalam kajian tersebut.
Jika tekak anda rasa tidak selesa, ambillah cuka epal. Ia mengandungi tahap asid yang ldapat membunuh bakteria yang ada dalam mulut. Caranya, campurkan satu cuka epal dan satu sudu madu ke dalam secawan air suam. Kemudian, berkumur dengannya setiap sejam ataupun 2 jam.
Cuka epal juga sangat baik untuk kulit yang bermasalah seperti ekzema atau merawat kulit berjerawat, tompok hitam yang tak sekata pada kulit mahupun selulit. Minuman berkhasiat ini kaya dengan potassium yang membantu proses detokfikasi harian khas untuk kecantikan kulit, mengurangkan keguguran rambut, merawat masalah kerapuhan kuku dan gigi. Manakala beta karotin yang ada dalam cuka epal pula dapat memperbaharui kerosakan sel-sel tubuh akibat aktiviti radikal bebas, di samping menegang dan menganjalkan kulit.
Cuka epal boleh dijadikan sebagai pelembut rambut. Menurut seorang arkitek, Cheryl Cheko, beliau sering dipuji oleh pekerja salun kerana rambutnya yang cantik. Rahsianya ialah menggunakan soda bikarbonat sebagai syampu dan cuka epal ketika membilas rambut. Bahkan ia juga boleh menghilangkan gatal pada kulit kepala. Cuka epal bersifat asid dan kebanyakan masalah rambut disebabkan oleh rambut yang terlalu beralkali. Fungsi cuka epal dapat membantu meneutralkan rambut dan kulit kepala. Sebelum menggunakannya pada rambut, pastikan anda larutkan cuka epal dengan air bagi mengelakkan rambut rosak.
Cuka epal sangat baik untuk merawat kaki yang bermasalah seperti kaki berbau, kutu air atau tumit kaki pecah. Untuk mengatasi masalah kutu air yang ringan, anda campurkan 2 sudu makan cuka epal dengan 3 cawan air. Rendam kaki dalam larutan ini selama 10-15 minit. Orang yang bermasalah dengan kaki berbau pun boleh amalkan cara ini. Bukan itu sahaja, rendaman cuka epal untuk tumit kaki kering dan pecah juga dikatakan efektif untuk mengembalikan kelembapannya. Caranya, gunakan air sejuk untuk rendam kaki selama 20 minit. Setelah kering, sapukan pelembap kaki dan pakai sarung kaki sebelum anda nak tidur. Elak gunakan cuka epal jika kaki anda luka kerana ia akan membuatkan luka lambat sembuh dan berlaku jangkitan.
Cuka epal juga bermanfaat sebagai bahan untuk berkumur dan mengatasi masalah mulut berbau. Kajian dari penelitian yang dilakukan oleh Mayo Foundation for Medical Education and Research membuktikan bahawa cuka epal sangat baik untuk mengatasi bau mulut. Ia mengandungi enzim baik yang dapat membantu menghancurkan plak penyebab karang gigi, melindungi mulut daripada bakteri sisa-sisa makanan dan menyimpan nutrisi yang baik untuk menjaga kesihatan gigi.
Pengambilan cuka epal dalam diet harian pasti ada kebaikan untuk tubuh kerana ia kaya dengan nutrisi. Namun jangan ambil berlebihan, amalkan secara sederhana dan berpada-pada. Bagi yang ada masalah kesihatan, sebaiknya berbincang dahulu dengan doktor sebelum mengambil cuka epal ini. Untuk yang ingin mengamalkan cuka epal, pastikan anda larutkan cuka epal terlebih dahulu untuk mengurangkan kepekatannya untuk mengelakkan sebarang kemudaratan lain.