Sebelum Masuk Thailand Guna Kenderaan Sendiri, Pastikan Anda Mohon Insurans Ini Dahulu!

1249

Sebelum masuk ke Thailand menggunakan kenderaan sendiri, pastikan kereta anda sudah didaftarkan dengan beberapa insurans yang wajib untuk menyelamatkan keluarga anda sepanjang perjalanan di Thailand.

Ini penting bagi mengelakkan kenderaan dan diri anda menghadapi pelbagai masalah apabila berada di sana, selain memastikan trip anda bersama keluarga menggunakan kenderaan sendiri ke Thailand berjalan lancar.

Seorang wanita bernama Norzaini Elias membuat perkongsian di Facebooknya tentang jenis insurans yang wajib serta patut anda beli sebelum masuk ke Thailand. Ikuti perkongsiannya.

BACA: Pemanduan Anda Pada Waktu Malam Lebih Selamat Jika Amalkan 5 Tip Ini

Ikuti perkongsian beliau: 

Sebelum memandu ke Thailand, biasanya rakyat Malaysia akan singgah di kedai-kedai insurans Thai di sempadan untuk membeli insurans Thailand. Harganya pun agak murah antara RM18 ke RM20 sahaja untuk kereta selama 9 hari. Ramai yang tak tahu insurans ini hanya melindungi perkara berikut:

1. Kecederaan pihak ketiga 80K baht (perlindungan rakyat Thailand sahaja)

2. Jika pihak ketiga meninggal atau hilang upaya 300K baht (perlindungan rakyat Thailand sahaja)

Harta benda pihak ketiga tidak dilindungi. Jika kita ingin melindungi harta benda pihak ketiga, boleh ambil ‘voluntary insurance’. Tapi ‘voluntary insurance’ hanya lindungi kenderaan pihak ketiga sahaja. Harta lain seperti kedai, lampu isyarat, pagar dan sebagainya tidak dilindungi. Jumlah perlindungan adalah 200K baht.

Apa yang berlaku jika anda cuai dan menyebabkan kemalangan, dan jumlah insurans Thailand ini tidak mencukupi? Kebanyakan insurans perjalanan (‘travel insurance’) ada perlindungan ‘personal liability’. ‘Personal liability’ ini melindungi kita dari tuntutan kerugian yang dibuat melalui peguam atau mahkamah disebabkan kecuaian kita.

Contoh petikan ‘policy wording’ dari AXA Travel Insurance:

Selain itu, ada insurans kemalangan diri (‘personal accident’) yang mempunyai manfaat ‘personal liability’. Tapi pastikan PA anda mempunyai manfaat perlindungan di luar negara. Contoh petikan dari policy wording AXA SmartPA Enhanced:

‘Travel insurance’ dan ‘Personal accident’ juga penting untuk anda melindungi diri sendiri jika berlaku kemalangan atau kerugian lain seperti dirompak. Jika anda memandu ke Thailand, lebih selamat jika anda ada salah satu dari insurans ini.

Ramai tidak tahu yang insurans kenderaan kita boleh ‘extend’ untuk melindungi kenderaan kita di Thailand. ‘Extension’ ini boleh ditambah semasa anda membeli insurans kenderaan. Jika insurans sudah berjalan, boleh buat ‘endorsement’ untuk tambah ‘extension’ ini. Untuk melancarkan urusan, seeloknya hubungi pihak insurans atau ejen insurans anda 2 minggu awal sebelum perjalanan jika ingin buat ‘endorsement’.

Sedikit pesanan jika anda terlibat kemalangan di Thailand, anda perlu buat perkara berikut:

1. Telefon talian kecemasan 911 atau jika kemalangan kecil hantar mangsa ke hospital

2. Tunjuk salinan insurans kepada polis atau hospital Thailand

3. Buat laporan polis di balai

4. Minta polis tolong buat laporan kepada insurans untuk tujuan tuntutan insurans

Akhir kata, pesanan jika anda ada penyakit sedia ada (‘existing illness’) dapatkan nasihat doktor sebelum ke luar negara. Insurans hanya melindungi kos perubatan ke atas insiden yang bersifat tidak sengaja atau ‘accidental’ sahaja. Untuk penyakit sedia ada, kos perubatan atau pemindahan hospital adalah tanggungan anda sendiri.

BACA: Ini 3 Aksesori Aftermarket Yang Anda Boleh Pasang Untuk Naikkan Nilai Jualan Semula Kereta