Karakter, cara penyampaian serta kisahnya adalah tersendiri. Mungkin masih ramai tidak mengenali siapa empunya diri yang sering menemani anda ketika memandu di jalan raya pada awal pagi.
SIAPAKAH ‘HALIM OTHMAN?
“Kita hidup hari ini dalam dunia yang keliru. Halim Othman seorang yang ringkas sahaja. Sebab itu nama pun sudah pendek menjadi H.O. Kita semua patut kembali ke kehidupan ringkas tetapi menerima lebih kejayaan. They say simplicity is the ultimate sophistication. Orang seperti Leonardo Di Vinci, Steve Jobs sememangnya faham tentang perkara ini. So, in short I AM A PASSIONATE STUDENT of knowledge. Selebihnya akan menyusul kemudian”.
DJ RADIO
“Dari tahun 1998 sehinggalah sekarang dan tolak dua tahun tempoh saya bercuti.”
OTAI?
“Erm…saya tidak mengatakan otai dan setiap hari saya masih belajar, belajar dan terus belajar. Saya hanya penyampai radio biasa yang kadang kala ditegur jika melakukan kesilapan”.
SEORANG ARKITEK
“Saya bermula sebagai seorang arkitek. Mendapat ijazah dari University Of Tennessee dan bekerja di Amerika Syarikat selama dua tahun sebelum kembali ke Malaysia.
Tidak ramai yang tahu sejarah kerjaya saya. Dunia kerjaya di sini bermula dengan program Roda Impian.
Sewaktu di Amerika, saya merupakan peminat program Wheel of Fortune. Tidak pernah terlepas menonton rancangan tersebut. Sehinggakan saya dipanggil untuk menjadi penonton yang ditemu ramah sewaktu program itu berlangsung. Setiap kali lihat program ini, saya bermonolog sendiri bahawa saya boleh mengacara rancangan seperti ini.
Pulang ke Malaysia, saya mengikuti satu temu duga dan akhirnya menjadi hos rancangan Roda Impian. Dari situ kerjaya saya bermula dan sekarang ini menjadi penyampai radio di SuriaFm. SuriaFM merupakan radio ketiga dalam kerjaya ini dan amat menyukainya.
DI SEBALIK KONTI
“Dunia juruhebah sungguh kecil. Di mana saya berada pasti akan berjumpa kembali dengan kawan-kawan lama yang sama-sama mengilap bakat pada awal pembabitan. Seperti contoh, saya berjumpa kembali dengan Kudsia Kahar dan Linda Onn walaupun saya melompat-lompat ke tempat yang lain dan akhirnya berjumpa kembali dengan mereka”.
PENGALAMAN 14 TAHUN
“Dalam apa sahaja yang anda buat harus ada minat. Jika anda tidak minat bertugas sebagai penyampai radio, peminat akan mengetahuinya. Saya bekerja kerana minat bukannya kerana popular atau wang semata-mata. Paling penting yang saya pelajari sepanjang kerjaya ini adalah kebenaran bahawa tidur itu penting. Penting kerana ia akan menguasai jiwa dan minda kita. Sebagai Dj radio yang bertugas pada sesi pagi, rutin saya bermula seawal jam 4.30 pagi”.
HUBUNGAN DENGAN PENDENGAR
“It a connection. Wujudnya saya sebagai penyampai radio pagi adalah sebagai connection pada keadaan. Mendengar radio tidak sama dengan menonton TV. Pendengar beranggap DJ radio sebagai temannya di dalam kereta. Jika tiba-tiba DJ tiada, seolah-olah mereka kehilangan teman.
Keadaan menjadi sunyi dan emosi mereka pasti terganggu. Apatah lagi perjalanan tersebut terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan anda akan tahu apa yang akan berlaku. Setidaknya kehadiran suara DJ ini boleh menenangkan emosi. Ini penting sebagai seorang DJ radio. 10 saluran radio tidak sama dengan satu saluran radio yang disukai. Jika anda berjaya menambat hati pendengar maka hanya anda sahaja dipilih setiap kali switch on radio”.
HOBI UNIK
“Ya, saya akuinya. Saya obsesi dengan seni seperti kaligrafi, fotografi, buku dan permainan Jigsaw Puzzle. Ayah saya seorang guru besar dan kami tiada TV untuk mencari hiburan. Maka kami adik beradik perlu cari alternatif lain untuk menghiburkan diri iaitu membaca buku.
Sehingga ke hari ini saya masih lagi mengamalkan hobi membaca. Malah saya juga suka menyelesaikan permainan Jigsaw Puzzle. Terlalu suka sehingga dinding rumah saya sudah tiada ruang untuk menampal Jigsaw Puzzle yang berjaya diselesaikan. Tempoh paling lama adalah selama 40 hari. Ia adalah gambar bulan dan langit yang gelap di sekelilingnya. Anda mungkin boleh membayangkannya”.
SIFAT LELAKI
“Seharusnya perlu berani! Berani bukan untuk bergaduh tetapi berani untuk melakukan kesalahan, berani untuk meminta maaf, berani untuk mengaku kesalahannya, berani untuk menangis, berani untuk menjadi sensitif, berani untuk mendengar pendapat orang lain tetapi masih mempunyai pendirian sendiri.”
TIDAK SUKA KUASA
“Saya pernah menjadi presiden untuk Persatuan Bulan Sabit Merah di sekolah. Saya akui tidak suka dengan kuasa. Dengan erti kata lain, saya tidak suka untuk memerintah orang lain. Maka jawapannya saya kurang gemarkannya”.
Profil
Nama: Che’ Halim Bin Othman
Nama Gelaran: Halim Othman / H.O
Asal: Kerteh, Terengganu
Pendidikan: University Of Tennessee, Amerika Syarikat
Jawatan: Penyampai Radio Suria Fm (Ceria Pagi Di Suria (5am-10am))