Dikenali menerusi lagu Pencuri pada tahun 2012 dan diikuti dengan lagu Si Katak dan seterusnya Marry Me nama Marcus Adam Macaraig Echivarre ataupun Mark Adam terus disegani hingga ke hari ini.
Tidak menolak besar kemungkinan kerana dia ‘orang luar’ dari Filipina, orang ramai mungkin ingin tahu serba serbi tentang dirinya.
Mengimbau kembali perjalannya ke Malaysia, dia mengakui sungguh susah untuk sampai ketahap ini.
Walaupun hadir sebagai penyanyi kelab bersama lapan orang anggota kumpulan yang lain ketika usia 22 tahun, dia langsung tidak pernah putus harapan dan kekal kuat sehingga ke hari ini.
Pengalaman yang tidak boleh dilupakan
Apabila ditanya apakah antara pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan, dia menjawab dengan hati yang sayu dia pernah merasa saat jatuh bangun sebagai sorang selebriti dan berdiam diri selama dua hari.
“Saya tak tahu nak gelarkan ia sebagai masalah atau sebaliknya, tetapi ‘masalah’ ini lah yang bawa saya ke tahap sekarang. Sewaktu dapat tawaran berlakon saya terima sepenuh hati dan ada satu pengarah bertanyakan pada saya, adakah saya mengenali dan mengetahui tentang industri filem melayu?
“Sudah tentu masa itu saya jawab YA! Walaupun sebenarnya saya tidak tahu, kerana dalam fikiran saya ketika itu, ini peluang keemasan. Saya mengamalkan white lies kerana saya benar-benar ingin memasuki industri ini dan mencari duit.” Katanya kepada Maskulin
Mengambil risiko ‘menipu sunat’ kerana ingin menceburkan diri dalam industri membuatkan dia terpaksa lalui 2 hari yang sukar untuknya.
“Sewaktu mula-mula saya dapat skrip tersebut saya telah diberi kepercayaan membawa watak hero, skrip tersebut sangat tebal dan ketika itu Bahasa Malaysia saya tidak fasih.
“Dua hari berada di set, saya sering dimarah oleh pengarah. Dia asyik kata awak pembohong! Awak kata awak tahu semua tentang industri. Saya diam sahaja selama dua hari, dan akhirnya pengarah tersebut mengajar saya tentang lakonan yang betul.
“Sejak itu, saya sangat berminat tentang perfileman. Sehinggakan tahun lepas 2019 ada 3 filem besar yang dilakonkan oleh saya keluar dipawagan dan kaca tv.” Ujarnya.
Benarlah kata orang, bukan mudah untuk dalami industri ini. Perlukan pengorbanan yang besar dan banyak untuk capai kejayaan. Kini dia bergelar pelawak kerana sikapnya yang bersahaja.