Nama Ziyad Zolkefli cukup hangat diperkatakan di kalangan warganet dan rakyat Malaysia amnya berikutan insiden kemenangannya ditarik semula di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Lebih mengharukan, Ziyad telah berjaya memecahkan bukan sahaja rekond kebangsaan tetapi rekod dunia bagi kategorinya.
Impian Ziyad untuk menghadiahkan sebutir pingat emas pada Hari Kebangsaan telah ranap akibat berlaku kecelaruan dan masalah teknikal. Namun, rata-rata rakyat Malaysia masih menganggap Ziyad sebagai pemenang sejati.
Lontaran kata-kata semangat tidak putus-putus dikirimkan kepada legenda sukan lontar peluru negara ini dari pelbagai peringkat masyarakat.
Hantarannya yang memohon maaf telah mendapat hampir 15 ribu komen dengan lebih 170 ribu likes. Dugaan yang datang dalam pelbagai bentuk kepada atlet sepertinya merupakan satu asam garam yang harus dilalui. Itulah yang turut dikongsi oleh seorang lagi legenda sukan tanah air yang juga pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, Dato’ Azizulhasni Awang.
Menerusi satu hantaran yang ditujukan khas buat Ziyad, beliau mengucapkan tahniah di atas preatsi cemerlang di Sukan Paralimpik. Azizulhasni juga berharap Ziyad terus bersabar dengan ujian yang harus dihadapai sekarang ini.
“Pertamanya saya ingin ucapkan jutaan tahniah kepada rakan saya Ziyad Zolkefli, di atas prestasi cemerlang memecahkan rekod dunia yang ditonjolkan di Sukan Paralimpik Tokyo. Memang sudah di atas kertas yang Ziyad adalah juara malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah.
“Namun saya berharap Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa di hadapi sekarang ini, sudah tentu ianya bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima,” jelas jaguh sukan lumba basikal yang turut dikenali dengan nama julukan ‘The Pocket Rocketman’.
Beliau juga turut berkongsi pernah berdepan situasi hampiar sama ketika bertanding di Sukan Komanwel New Delhi pada tahun 2010. Kemenangan pingat emasnya telah ditarik dan memberikan tamparan yang cukup hebat.
“Ini realiti dunia sukan. Pelbagai perkara yang diluar jangkaan boleh berlaku. Kadang-kadang ianya adalah kerana kesilapan kita, dan kadang-kadang pula boleh jadi kesilapan dari pihak lawan.
“Dan jangan terkejut jika pihak pengadilan juga melakukan kesilapan kerana ianya memang sentiasa berlaku di dalam dunia sukan ini. Mereka adalah manusia dan kita juga adalah manusia. Manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan,” tambahnya lagi.
Jelas Azizulhasni lagi, kejadian seperti yang berlaku kepada Ziyad memang amat pahit untuk ditelan. Sebagai rakan atlet, beliau menasihatkan Ziyad untuk menerimanya sebagai Qada’ dan Qadar. Malah terus berusaha dan tidak berputus asa.
Semoga kata-kata dari atlet legenda tanah air ini mampu memberikan semangat dan motivasi kepada Ziyad untuk terus gigih dan memberikan yang terbaik di masa akan datang.
Sementara itu dalam hantaran terbaru Ziyad, dia memuat naik foto dengan kapsyen, “Saya akan bangkit kembali. Terima kasih kerana memberi kata-kata semangat”.
Stay strong Ziyad!