“Baru je angkat sumpah jadi menteri terus keluar macam-macam fitnah dan fake news”. Itulah penjelasan yang dikongsi oleh Menteri Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Abdul Aziz yang baru dilantik baru-baru ini.
Ketiadaannya ketika mesyuarat pertama kabinet kerajaan perpaduan baharu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menimbulkan pelbagai spekulasi buruk. Malah ada suara-suara sumbang mengatakan beliau pergi ke Qatar untuk menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia.
Teka-teki tersebut akhirnya terjawab pada hari ini apabila Tengku Zafrul sendiri memuat naik beberapa foto tentang penglibatannya menghadiri majlis kerjasama perdagangan Petronas dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi semalam.
Jelas beliau dalam satu kenyataan, hubungan perdagangan Malaysia dan UAE akan akan menjadi lebih kukuh selepas rentetan pemeteraian kerjasama di antara Petronas dengan sebuah syarikat minyak di negara tersebut.
Beliau turut memuat naik sebuah video bagi menjelaskan perkara sebenar dengan lebih lanjut menerusi Facebook rasminya.
“Pertamanya saya ke Abu Dhabi bukannya ke Doha, Qatar. Kedua saya ke Abu Dhabi untuk urusan rasmi. Tak dapat hadir ke mesyuarat kabinet bukan macam ponteng kelas. Mana-mana menteri yang nak ke luar negeri harus minta kebenaran Perdana Menteri dulu,” tambahnya lagi.
Difahamkan Tengku Zafrul tidak keseorangan di sana, sebaliknya detik bersejarah perjanjian tersebut turut disaksikan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama menghadiri majlis tersebut ialah Presiden UAE, Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan; Menteri Industri & Teknologi Maju UAE merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC, Dr. Sultan Ahmed Al Jaber dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik.
Beliau berpandangan, perjanjian yang telah termeterai itu akan menunjukkan keupayaan Malaysia untuk bersaing dengan syarikat-syarikat di peringkat antarabangsa.
“Pemerteraian perjanjian ini menunjukkan keupayaan bersaing syarikat-syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa. Ia juga mencerminkan hubungan rapat dua hala perdagangan Malaysia-UAE dan meningkatkan lagi silaturahim kedua-dua buah negara,” tambahnya lagi.
Semoga warganet sekalian lebih berhemah dalam melontarkan aoa-apa tuduhan. Usah terlalu cepat menyebarkan berita tidak benar atau palsu.