Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) Putrajaya melakar sejarah sebagai Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik bagi pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Dengan sejumlah 14 orang meraih keputusan semua A+ dan 81 orang meraih semua A, sekolah khusus lelaki itu berjaya mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi sekolah itu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menzahirkan rasa syukur dan bangganya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya semalam.
“Kejayaan seperti ini bukannya datang bergolek dan pastinya menjadi impian saya secara peribadi sejak lapan tahun lalu apabila diberi tanggungjawab menjadi Yang Dipertua PIBG sehingga kini.
“Barangkali, tidak keterlaluan untuk saya katakan, pencapaian terbaik sekolah lelaki dalam SPM sejak sekian lama,” tulisnya.
Beliau yang tidak dapat turut serta pada hari pengumuman keputusan SPM kerana bertugas di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang itu turut mengingatkan para pelajar untuk kekal merendah diri meraikan kejayaan masing-masing.
“Kepada anak-anak SAS, raikan hari ini dengan penuh kegembiraan dan penuh rasa rendah diri kerana ini adalah hasil ikhtiar dan usaha kalian semua sebagai Warriors1923.
“Pastinya tidak ada kata-kata yang lebih berharga melainkan syukur dan juga tahniah kepada anda semua atas usaha dan juga ikhtiar yang telah dilakukan dalam membanggakan ibu bapa, sekolah dan diri sendiri.
“Ucapkanlah rasa terima kasih kepada ibunda serta para pendidik yang telah memberikan yang terbaik untuk kalian semua,” tambahnya.
Sekadar makluman, Warriors1923 merupakan nama kumpulan bagi pelajar sekolah tersebut yang menduduki SPM pada tahun 2023.
Angka 1923 pada nama itu merujuk pada tahun mereka mendaftar masuk sebagai pelajar tingkatan satu pada tahun 2019 dan tahun akhir pengajian mereka sebagai pelajar tingkatan lima pada 2023.
Untuk rekod, ranking SPB terbaik tidak rasmi menujukkan SAS berada di kedudukan pertama, diikuti Kolej Tunku Kurshiah (TKC) di kedudukan kedua dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) di kedudukan ketiga.
Ranking tidak rasmi yang melibatkan sekolah bukan SBP pula menunjukkan SAS berada di kedudukan kedua selepas Maahad Tahfiz Negeri Pahang, demikian menurut laporan Vocket.
Sumber: Facebook Reezal Merican Naina Merican dan Vocket
BACA: Keputusan SPM 2023: Anda Ada 30 Hari Untuk Mohon Semak Semula
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI