EXERCISE, GET SWEAT AND CONTROL FOOD INTAKE _David Abraham
Dilema berat badan berlebihan dengan susuk tubuh yang gempal sejak di bangku sekolah membuatkan alam persekolahannya tidak seindah rakan yang lain. Pengalaman dimalukan di hadapan kelas oleh gurunya menjadikan dia memasang iltizam untuk memiliki bentuk badan yang lebih ideal. Penat dengan kata penghinaan dan ejekan terhadap saiz fizikalnya menjadikan David benar-benar berusaha untuk sampai ke tahap ini. Transformasi yang dilaluinya sangat memerlukan usaha dan semangat yang tinggi. Bukan mudah dari seorang yang memiliki berat badan obesiti kini bertukar kepada lelaki kacak berotot, ini menjadi penanda aras buat dirinya yang sangat optimis mengejar impian. Ikuti tip sihat yang diamalkan David Abraham bersama Maskulin.
Berat badan yang berjaya anda kurangkan?
Saya berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh lima bulan sahaja untuk nampak benar-benar kurus, tetapi untuk mendapatkan bentuk badan berotot bukanlah mudah, ia mengambil masa sekitar empat tahun untuk direalisasikan. Berat badan saya dahulu adalah sekitar 110 kg dan kini 82 kg. Saya melihat progress setiap minggu sepanjang tempoh berdiet, ia adalah satu perjalanan penuh disiplin sehingga ke hari ini.
Sejak bila anda membuat keputusan untuk berubah?
Saya obes sejak kecil, sering dijadikan bahan lawak oleh rakan-rakan, sangat rendah diri ketika itu. Sejak dari usia 17 tahun saya memasang niat untuk berubah, permulaan yang sangat sukar namun saya tetapkan menguatkan semangat demi impian untuk mendapatkan bentuk badan menawan.
Makna perubahan ini kepada anda?
Perubahan fizikal ini sangat mempengaruhi saya sebagai seorang lelaki, saya lebih berkeyakinan apabila berjumpa masyarakat. Saya juga menjadi lebih berdisiplin dalam pemilihan menu hidangan, saya tidak akan kembali ke zaman silam saya!
Kenapa ramai yang gagal berdiet?
Saya percaya, menurunkan berat badan adalah impian setiap manusia, ia adalah satu proses yang menarik untuk dihayati. Ramai yang gagal kerana mereka mahukan hasil segera sehinggakan apabila terlalu yakin hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Akhirnya ramai yang terus melupakan niat untuk berdiet kerana kecewa dengan hasil yang dimiliki.
Cabaran
Bagi saya, cabaran sewaktu berdiet ini adalah untuk mengawal nafsu makan. Saya seorang yang cintakan makanan. Namun itu bukan alasan untuk anda tidak menikmati snek, amalkan diet 6 kali seminggu.
Apa yang memberikan anda motivasi untuk kekal sehingga kini?
Ayah saya adalah insan yang banyak membantu saya untuk berubah seperti hari ini, dia sangat memahami dan menyokong apa yang saya lakukan. Dari usia saya 18 tahun mula berdiet sehinggalah kini, dia banyak mengajar saya agar terus berdisiplin jalani diet setiap hari. Bila sudah menjadi kebiasaan, ia tidak lagi menjadi bebanan untuk saya amalkan setiap hari.
5 Tip kurangkan berat badan?
1.Kurangkan pengambilan gula
2.Kurangkan makanan berminyak
3.Perlu ada mentor
4.Dekatkan diri anda dengan sekitar yang gemar aktiviti kecergasan dan amalkan budaya hidup sihat.
5.Konsisten dalam apa yang anda lakukan.
Makanan yang perlu disingkirkan sewaktu berdiet?
Makanan bergoreng, makanan segera dan minuman bergula
Berapa banyak pengambilan protein setiap hari?
Saya ambil sekurangnya 200 gram protein setiap hari dari pelbagai sumber seperti ayam, ikan dan telur.
Menu diet anda setiap hari?
Setiap pagi saya akan mula mengambil 1.5 air mineral bersama roti penuh serat dan telur, tengah hari saya akan makanan yang di bakar bersama sayuran, malam pula saya akan ambil protein seperti ikan dan sayuran.
Supplement yang diambil?
Saya mengambil whey protein untuk mendapatkan bentuk badan yang saya idamkan hari ini.
Weight Loss Workouts!
Saya jalani latihan lima kali seminggu, di mana sebelum melakukan latihan berat saya akan buat 20 minit sesi kardio terlebih dahulu.
Matlamat
Saya mahu terus kekal sihat dan fit setiap hari. Sekarang saya fokus kepada pelajaran dan pastinya dunia kecergasan untuk memberi inspirasi kepada semua.
Sumbangan anda dalam dunia kecergasan?
Saya banyak berkongsi dan membantu mereka yang mengalami masalah obesiti menurunkan berat badan. Saya mahu menjadi contoh dan bukti kepada mereka di luar sana, bahawa tiada apa yang mustahil dalam mengubah dan transformasi diri untuk menjadi lebih baik dan sihat.
Quotes dalam berdiet.
Fall 7 times, get back 8 times, jangan sesekali ada rasa mengalah dan malas dalam berdiet. Pasang niat untuk berdiet dan jangan menangguhkan niat tersebut. Terus lakukan!