Sapu Dengan Minyak Selepas Kaki Terseliuh Rupanya Cara Salah, Ini Yang Sepatutnya Kita Buat!

Share

Masalah kaki terseliuh memang lumrah bagi orang yang aktif bersukan. Bila tersilap langkah dan tidak melakukan regangan, masalah kaki terseliuh ini mudah terjadi.

Apabila terjadinya kaki teseliuh, rata-rata daripada kita akan mengambil langkah sendiri dengan menyapu minyak panas atau mengurutnya bagi mengurangkan kesakitan.

Rupanya menyapu minyak panas ketika kaki terseliuh adalah salah kerana ia boleh menyebabkan kecederaan yang semakin teruk.

Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsikan langkah betul yang perlu kita buat sekiranya kaki terseliuh.

Semoga perkongsiannya ini akan bermanfaat lebih-lebih lagi untuk anda yang kerap melakukan aktiviti berlari, berjoging atau bersenam.

BACA: Buat Teknik Senaman Kaki Ini Di Rumah Untuk Dapatkan Kaki Mantap & ‘Super’ Seksi!

“Doktor, lepas pergi urut, kaki saya semakin bengkak.”

Keseliuhan pergelangan kaki adalah kecederaan yang agak lazim, dan kebanyakan orang akan cuba merawat kondisi ini sendiri. Namun jika salah caranya, kondisi kaki boleh jadi semakin teruk.

JANGAN lakukan perkara-perkara berikut:

1. JANGAN URUT

Elakkan terus mengurut kawasan yang tercedera. Mengurut sejurus sahaja kecederaan berlaku adalah sangat menyakitkan dan boleh menyebabkan bengkak lebih teruk. Urutan hanya dibenarkan selepas 48-72 jam kecederaan berlaku.

2. JANGAN TUAM HABA

Tuaman haba akan menyebabkan salur darah mengembang lantas mempercepatkan dan mempertingkatkan proses keradangan. Tuaman menggunakan haba hanya dibenarkan selepas 48-72 jam kecederaan berlaku.

3. JANGAN SAPU MINYAK PANAS/GAMAT

Jika ada luka di kulit di kawasan kecederaan, jangan sapu minyak panas atau minyak gamat kerana ia boleh menyebabkan iritasi dan jangkitan pada luka. Minyak panas/gamat hanya dibenarkan jika di kawasan terseliuh itu tiada sebarang luka.

4. JANGAN ABAIKAN KESAKITAN

Jika kesakitan dan bengkak yang dialami terlalu kuat, itu tanda-tanda kecederaan yang anda alami agak parah. Jumpalah doktor, terutamanya jika ada kebas-kebas jari, sendi terkehel keluar, kelumpuhan, dan luka (mungkin open fracture).

BACA: Elak Minum Air Kosong Selepas Bersenam & Gantikan Dengan Air Ini Kalau Tak Nak Cramp Kaki!

Perkara yang anda PERLU buat sebaik sahaja tercedera:

1. PERLU REHAT

Rehat di sini bermaksud mengurangkan gerakan sendi yang cedera dan tidak menggunakan kaki yang tercedera untuk berjalan. Gunakanlah tongkat ketiak(axillary crutches), tongkat lengan(elbow crutches) atau kerusi roda untuk berambulasi.

2. PERLU TUAM AIS

Sejurus selepas kecederaan lakukan tuaman ais. Tuaman ais selama 20 minit setiap 2-3 jam dapat mengurangkan kesakitan dan mengelakkan bengkak yang teruk. Rejim tuaman ais ini disarankan dibuat sehingga 48-72 selepas kecederaan.

3. PERLU BALUT

Balutan ini untuk beri tekanan dan mengurangkan pergerakan pada sendi yang tercedera. Ini dapat menghalang bengkak besar daripada terjadi. Namun, pastikan tidak balut terlampau ketat sehingga bekalan darah tersekat.

4. PERLU TINGGIKAN

Anggota yang tercedera perlulah diletakkan tinggi. Sewaktu duduk pastikan kaki tercedera sentiasa melunjur. Jangan biar tergantung di bawah. Sewaktu baring atau tidur, kaki cedera itu hendaklah lebih tinggi daripada badan. Boleh alas bantal di bawah kaki.

Itulah rawatan yang JANGAN dan rawatan yang PERLU dilakukan sejurus selepas terseliuh pergelangan kaki, agar cepat sembuh.

Setelah bengkak dan kesakitan surut, anda perlu lakukan senaman untuk kuatkan semula sendi yang tercedera. Boleh belajar senamannya di pusat fisioterapi.

Jika rawatan di rumah tidak mengurangkan bengkak dan kesakitan, itu tandanya anda kena berjumpa doktor. Khuatir ada ligamen yang terputus atau keretakan tulang. Jika tidak sempurna, kecederaan ini boleh akibatkan kesakitan kronik.

Semoga bermanfaat!

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Biro Rehabilitasi Medtweetmy

Published by
Roselinda