Automotif

‘Sambung Bayar’, Risiko & Undang-Undang Yang Perlu Kita Fahami

Share

Istilah ‘sambung bayar’ mungkin sudah tidak asing lagi di kalangan kita, terutama dalam urusan jual beli kenderaan.

Namun, tahukah anda bahawa amalan sambung bayar ini sering kali melibatkan risiko yang sangat besar dan sebenarnya melanggar undang-undang kontrak, khususnya di Malaysia?

Sambung bayar bukan sekadar istilah biasa, ia juga sinonim dengan urusan jual beli kenderaan yang tidak mengikut peraturan yang sah.

Di sebalik niat baik dan prinsip kepercayaan, banyak kes yang membawa kepada perpecahan hubungan persahabatan, pertelingkahan keluarga, dan pengkhianatan di antara kenalan.

Semua ini berpunca daripada kegagalan menepati perjanjian mulut yang dibuat secara tidak formal.

Risiko dan Beban di Pihak Penjual

Dalam kebanyakan kes sambung bayar, pembeli gagal menunaikan tanggungjawab mereka untuk membuat bayaran bulanan yang telah dipersetujui.

Akibatnya, pemilik asal atau penama kenderaan terpaksa menanggung beban kewangan, termasuk bayaran tertunggak dan risiko undang-undang.

Ini menjadi lebih rumit apabila perjanjian tidak didokumenkan secara rasmi atau melibatkan pihak bank.

Amalan ini sering dilakukan di kalangan ahli keluarga atau kenalan, berlandaskan kepercayaan semata-mata.

Namun, apabila pembeli mula culas, si penjual yang akan berhadapan dengan masalah. Walaupun kelihatan seperti penyelesaian mudah untuk masalah kewangan, sambung bayar sebenarnya boleh mendatangkan kesan buruk yang berpanjangan kepada kedua-dua pihak.

Jalan Pintas Menyalahi Undang-Undang

Konsep sambung bayar timbul apabila pemilik kereta mengalami kesukaran untuk membayar pinjaman bulanan. Dan pembeli pula ingin memiliki kenderaan dengan cara mudah tanpa perlu melalui proses rasmi.

Namun, perbuatan ini melanggar undang-undang sewa beli, khususnya Akta Sewa Beli 1967. Mengikut undang-undang ini, pemilikan kenderaan tidak berpindah kepada pemilik sehingga pinjaman diselesaikan sepenuhnya.

Sekarang, terdapat laporan tentang ejen yang menawarkan perkhidmatan sambung bayar

, di mana kenderaan dijual tanpa kebenaran daripada pihak bank, yang secara sah masih menjadi pemilik kenderaan tersebut. Ini jelas menyalahi undang-undang.

Undang-Undang Sewa Beli

Untuk memahami lebih lanjut mengenai kesalahan ini, kita boleh merujuk kepada Akta Sewa Beli 1967, di mana terdapat beberapa seksyen penting yang melindungi hak pemilik kenderaan:

  • Seksyen 38: Menyatakan bahawa menjual kenderaan yang dibeli melalui perjanjian sewa beli tanpa kebenaran daripada pihak pemilik (bank) adalah satu kesalahan. Jika didapati bersalah, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.
  • Seksyen 46: Menegaskan bahawa melanggar mana-mana peruntukan dalam akta ini juga boleh dikenakan denda hingga RM3,000 atau penjara sehingga 6 bulan, atau kedua-duanya.

Perlindungan untuk Semua Pihak

Akta ini bukan bertujuan untuk menyusahkan rakyat, tetapi sebagai langkah perlindungan bagi semua pihak yang terlibat dalam urusan jual beli kenderaan.

Ia membantu mencegah risiko kewangan dan masalah undang-undang yang mungkin timbul, terutama dalam kes sambung bayar.

Orang awam juga dinasihatkan untuk merujuk kepada panduan daripada Jabatan Bantuan Guaman untuk maklumat lanjut mengenai hak-hak mereka.

BACA: 10 Kasut Larian Berprestasi Tinggi Terbaik 2024 Pilihan MASKULIN

Secara keseluruhannya, sambung bayar mungkin kelihatan seperti pilihan mudah, tetapi hakikatnya, ia melibatkan risiko besar. Sebaiknya, elakkan terjebak dalam amalan ini dan pastikan setiap urusan jual beli kenderaan dibuat mengikut undang-undang yang sah.

Adalah penting untuk memahami bahawa hanya melalui proses yang betul, risiko kepada pemilik asal dan pembeli dapat diminimalkan, dan hak-hak mereka dilindungi secara sah.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim