Sakit Telinga? Apa Puncanya? Jom Fahami Tentang Sakit Telinga

Share

Pengenalan

Kesakitan telinga biasanya disebabkan masalah samada telinga luar (dari cuping telinga hingga gegendang telinga) atau telinga tengah (di belakang gegendang telinga).

Ianya boleh disebabkan oleh masalah di tekak atau mulut seperti jangkitan pada tekak ( ‘tonsillitis’, ‘pharyngitis’).

Ketumbuhan pada tekak juga boleh menyebabkan kesakitan telinga.

Punca-punca

Berikut disenaraikan sebab-sebab utama kesakitan telinga.

    1. Tahi telinga

      Tahi telinga boleh terkumpul di dalam saluran telinga (saluran auditori). Akhirnya ia akan membentuk plak, yang mengurangkan pendengaran dan menyebabkan kesakitan.

 

    1. Jangkitan pada saluran telinga

      Bakteria (‘furunculosis’/bisul) atau jangkitan kulat (‘otomycosis’)

 

  1. ‘Eczema’
    ‘Eczema’ boleh berlaku pada saluran telinga, menyebabkan kulit menjadi kering, kemerahan, bersisik dan gatal. Ini juga boleh menyebabkan jangkitan dan kesakitan.

    Keradangan telinga tengah

    • ‘Acute suppurative otitis media’

      Kesakitan telinga biasanya bermula di dalam telinga. Keradangan telinga tengah ialah punca yang paling kerap dan biasanya (walaupun tidak semestinya) disebabkan jangkitan.

      Akibat tekanan yang meningkat pada telinga tengah, gegendang telinga meregang dan bengkak. Ini akan mengurangkan pendengaran dan menyebabkan kesakitan. Faktor yang paling kerap ialah demam selesema.

Tanda dan Gejala

Gejala-gejala berkaitan :

  • Kurang pendengaran
  • Kegatalan
  • Lelehan telinga

Rawatan

  • Tahi telinga termampat boleh dilembutkan dengan minyak zaitun atau sayuran atau ubat titik telinga sodium bicarbonate sebelum dikeluarkan oleh kakitangan perubatan yang terlatih/ENT doktor.
  • Ubat titik telinga ini boleh dibeli di farmasi.
  • ‘Syringing’ iaitu menyembur tahi telinga dengan air suam dan hanya boleh dilakukan oleh kakitangan perubatan yang terlatih sahaja. Amalan ini tidak boleh dilakukan pada telinga yang terkena jangkitan atau gegendang telinga berlubang. Prosedur ini jika tidak dilakukan dengan betul boleh menyebabkan gegendang telinga berlubang, penig, loya dan muntah.
  • Ubat tahan sakit yang ringan seperti ‘paracetamol’ boleh diambil jika sakit menjadi teruk.
  • Jangkitan pada saluran telinga mesti dirawat oleh pakar telinga hidung dan tekak. Ia memerlukan cucian yang sempurna, memasukkan kain yang berubat atau mungkin pembedahan.
  • Ubat titik telinga yang mengandungi ‘corticosteroid’ boleh mengurangkan dan menyembuhkan radangan pada saluran telinga. Ubat Anti-bakteria atau anti-fungus mungkin diperlukan jika terdapat jangkitan. Pil atau suntikan antibiotik boleh digunakan untuk merawat bisul / ‘furuncle’ di dalam saluran telinga. Penyaliran nanah mungkin diperlukan.
  • Kesakitan telinga akut beserta kurang pendengaran dan selesema menandakan jangkitan kuman pada telinga tengah. Keadaan ini memerlukan rawatan awal dengan ubat tahan sakit, antibiotik dan ‘decongestant’. Ini untuk mengelakkan gegendang telinga pecah dan nanah meleleh.

Pencegahan

  • Tahi telinga bergerak secara perlahan ke arah lubang telinga dan terkeluar. Oleh itu pencucian yang berkala adalah tidak perlu. Bagaimanapun, kain boleh digunakan untuk menyapu dengan perlahan pada lubang telinga.
  • Penggunaan putik kapas tidak membantu kerana biasanya ia akan menolak tahi telinga lebih ke dalam, akhirnya membawa mudarat. Oleh kerana saluran telinga sempit di bahagian tengah, tahi telinga membentuk plak yang tidak boleh keluar dengan sendiri. Ia juga menyebabkan berlakunya gegendang telinga berlubang dan jangkitan pada saluran telinga (otitis externa).
  • Pengidap ‘Eczema’ perlu berhati-hati mengorek telinga dengan putik kapas kerana ia akan menyebabkan keadaan lebih teruk.
  • Elakkan daripada menghembus hidung dengan kuat atau berenang / menyelam semasa mengalami selesema. Ini boleh menyebabkan jangkitan telinga tengah (otitis media)

 

sumber: myhealth.gov.my

Published by
webadmin