Kapten pasukan bola sepak Selangor FC, Safuwan Baharudin bersemangat untuk menamatkan kemarau piala gergasi merah.
Dengan kekuatan pasukan yang berbeza pada tahun ini, Safuwan Baharudin berharap agar hasrat itu berjaya direalisasikan dengan memenangi sekurang-kurangnya satu piala kelab domestik.
“Tahun ini berbeza sedikit. Kami ada pemain lebih baik, kami ada sokongan yang baik dari pihak pengurusan, kami ada jurulatih yang baik,” kongsinya kepada MASKULIN.
Safuwan Baharudin tampil sebagai MASKULIN Man of The Moment bagi edisi Jun 2024.
Pernah bermain untuk beberapa pasukan seperti PDRM FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC dan lain-lain lagi sebelum menyertai Selangor FC, jejaka berusia 33 tahun dari Singapura ini mengakui sukar untuk berpindah pasukan, apatah lagi pasukan yang saling bersaing antara satu sama lain.
Namun, perkara itu dianggap biasa dalam arena sukan bola sepak.
“Ini adalah bola sepak. Bila bercakap tentang bola sepak, malam ini anda boleh berada di suatu tempat, esoknya berada di tempat yang lain,” ujarnya.
Mengimbas kembali pengalaman kerjaya sukannya itu, Safuwan Baharudin juga tidak terlepas dari mengalami saat yang getir.
Pada tahun 2022, Safuwan menglamai kecederaan kepala yang serius sehingga perlu direhatkan sepenuhnya di rumah selama enam bulan.
“Itu adalah saat buruk bagi saya. Saya direhatkan tanpa bermain selama enam bulan. Ia memang rehat sepenuhnya di rumah,” ceritanya kepada MASKULIN.
Dengan bantuan dari para doktor dan jurupulih perubatan fisioterapi, Safuwan mampu kembali beraksi di padang.
Bagaimanapun, Safuwan tetap mengambil langkah berjaga-jaga agar kecederaan lampaunya itu tidak terjejas semula ataupun mengelami kecederaan baharu.
Menyarung jersi pasukan gergasi merah sahaja sudah cukup membanggakan, apatah lagi diberi kepercayaan untuk mengemudinya sebagai kapten.
Namun ia juga datang dengan satu tanggungjawab besar yang Safuwan akui sukar untuk digalas.
Lebih-lebih lagi apabila berlakunya kejadian yang menimpa rakan sepasukan, Faisal Halim atau mesra disapa Mickey yang cedera disimbah asid.
Kata Safuwan, kejadian yang tidak disangka ternyata memberi kesan secara mendalam kepada seluruh ahli pasukan juga.
Keadaan di dalam pasukan sendiri menjadi kacau-bilau, sehingga Safuwan selaku ketua terpaksa memencilkan diri seketika demi memahami punca pemain menjadi tertekan sebegitu.
“Saya rasa selepas kejadian itu, hampir dua minggu juga kami bergaduh sesama sendiri. Antara satu sama lain, memang aura itu sudah lain.
“Mungkin disebabkan kami semua pun balik rumah rasa takut. Datang berlatih pun rasa takut,” kongsinya lagi.
Susulan itu, jurulatih pasukan memutuskan untuk memberi tempoh berehat selama dua hingga tiga hari kepada semua ahli pasukan.
Namun selepas tempoh itu, jurulatih ingin mereka kembali semula berlatih dengan semangat yang baharu, demikian menurut Safuwan.
Seperti pemain lain, Safuwan Baharudin juga turut mengidolakan bintang bola sepak antarabangsa.
Bagi Safuwan, dia sungguh mengagumi David Beckham dan Zinedine Zidane meskipun mereka bukanlah pemain di posisi sepertinya.
“Mereka berdua bukanlah dalam posisi saya, tapi atas dasar cinta terhadap bola sepak.Cara mereka bermain, cara mereka mengembangkan diri mereka.
“Jika kalian menonton dokumentari mengenai mereka, ia mungkin adalah dokumentari terbaik dalam bola sepak. Kalian boleh belajar banyak perkara berkenaan dalam dan luar padang,” tambah Safuwan.
Di akhir temu bual, Safuwan Baharudin meluahkan rasa penghargaannya terhadap para peminat bola sepak.
Baginya, peminat adalah salah satu punca yang membantu ramai pemain tempatan mampu membangun sebagai seorang pemain yang lebih baik.
“Tiada siapa mahu bermain di stadium yang kosong. Kami sentiasa suka bermain di hadapan para peminat.
“Sokongan, dedikasi, kewangan yang disumbangkan menerusi tiket-tiket bola, penerbangan untuk menonton pasukan kegemaran mereka tak kisah di mana-mana. Saya rasa itu satu komitmen yang besar,” katanya.
Untuk menonton temu bual penuh, saksikan MASKULIN Man of The Moment Edisi Jun 2024 di saluran Youtube MASKULIN.
BACA: Dibuli Ketika Sekolah, Adli Goldenboy Kunci Mulut Pembuli Dengan Kemenangan Tinju