Sukan

Safiq Rahim Jadi Mangsa Pula, Kereta Pecah Dihentak Tukul Besi

Share

Bertubi-tubi malang menimpa pemain bola sepak negara, terbaru pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim pula menjadi sasaran penjenayah.

Melalui hantaran di laman Instagram malam tadi , Safiq memberitahu dia diserang oleh dua lelaki bermotosikal di Jalan Seri Gelam, Johor Bahru, sekitar pukul 10.05 malam (Selasa) setelah selesai mengambil barang di Pusat Latihan JDT.

‘Tak sangka saya pula kena serang berhampiran Pusat Latihan JDT. Pada zaman sekarang, kita semua perlu berhati-hati,’ tulis Safiq dalam hantaran tersebut.

Menurut Safiq, sebelum insiden itu berlaku, keretanya dihampiri oleh sebuah motosikal yang dinaiki dua individu yang tidak dikenali. Penumpang motosikal itu kemudian mengeluarkan tukul besi sebelum memukul cermin belakang kereta jenis Honda City yang dipandunya.

‘Pukulan itu mengejutkan saya dan menyebabkan saya memberhentikan kereta. Dua lelaki tersebut kemudian berhenti di hadapan sambil menunjukkan tukul ke arah saya.

‘Kerana takut, saya mengundurkan kereta dan kedua-dua lelaki berkenaan kemudian beredar dari lokasi kejadian.

‘Pukulan itu menyebabkan cermin belakang kereta saya pecah,’ katanya dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Larkin.

Safiq turut memuat naik sekeping gambar memaparkan cermin belakang keretanya yang pecah.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards, melalui kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar segera menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut.

‘Kami juga menasihatkan pemain kami untuk berhati-hati terhadap persekitaran mereka dan apa yang mereka kongsikan di media sosial setiap masa,’ katanya.

Sebelum ini, dua pemain kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim turut menjadi sasaran apabila mereka diserang individu yang tidak dikenali.

Akhyar, 25, yang kini bermain untuk Terengganu FC (TFC), disamun dan dipukul sehingga mengalami kecederaan di kepala dalam kejadian pada malam Khamis minggu lalu.

Sementara itu, Faisal yang merupakan pemain Selangor FC, disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di pusat beli-belah di Kota Damansara pada petang Ahad. Akibat simbahan cecair yang dipercayai asid sulfurik pekat, pemain berusia 26 tahun itu disahkan mengalami kelecuran tahap empat.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Nana