Rasanya umpama air tangan ibu. Begitulah gambaran yang dapat diberikan tatkala penulis mencuba dan merasa sendiri sajian yang disediakan pihak Utara Coffee House, The Armada Petaling Jaya.
Meskipun berdirinya megah bangunan hotel ikonik ini di tengah-tengah kota raya, makanannya punyai banyak persamaan dengan masakan ibu-ibu kita di kampung.
Bersempena Ramadhan 2018, Hotel Armada menyediakan lebih berpuluh menu enak yang disisip dengan aura masakan orang berpengalaman yang buat anda merindui kampung halaman serta-merta.
Untuk membangkitkan kemeriahan Aidilfitri, antara yang istimewa adalah masakan lauk-pauk unik seperti Itik Kerutub, Ekor Lembu Masak Asam Pedas, Asam Pedas Kepala Ikan Salmon, Ketam Masak Berlada, Pisang Muda Masak Lemak Ikan Masin, Udang Kelio, Sambal Hijau Terung Pipit Dengan Belacan, Siput Sedut Masak Lemak Cili Api, Ayam Palembang dan banyak lagi!
Sebagai hidangan sampingan, Nasi Ulam dan Sayur Keladi juga ada disediakan serta aneka sambal untuk penaik selera termasuklah Sambal Kelapa, Sambal Ikan Masin, Cincaluk, Sambal Tempoyak dan lain-lain.
Bagi pendapat penulis, setiap satu lauk yang disediakan adalah bertepatan dengan tekak orang Melayu serta pengunjung yang gemarkan aneka masakan lauk-pauk Nusantara. Masinnya, masamnya, manisnya semuanya bergabung serasi sebaik disuap ke mulut.
Ayam serta dagingnya juga dimasak empuk dan penulis kira, ia bersesuaian untuk dinikmati bagi setiap peringkat umur dari kanak-kanak hinggalah ke warga emas.
Bagi yang tidak mahu menikmati nasi bersama lauk semata-mata, anda bolehlah rasa keunikan Laksa Thailand serta Sup Tulang Rusuk yang dimasak segar dengan campuran rempah-ratus asli.
Hanya RM88 (dewasa) dan RM45 (kanak-kanak), The Armada Petaling Jaya akan mula mengelolakan buffet Ramadhan bertemakan “Semarak Ramadhan” ini pada hari Rabu, 15 Mei hinggalah 14 Jun 2018 sepanjang bulan puasa.
Untuk keterangan lanjut, sila klik [www.armada.com.my] atau lawat laman Facebook di [www.facebook.com/HotelArmadaPJ].