“Kalau belajar sungguh-sungguh, mesti tak kerja di kaki lima sekarang,” demikian antara kata-kata yang pernah dilemparkan pada jejaka ini.
Namun tidak ramai yang mengetahui, jejaka yang sekadar tampil memakai kemeja T dan apron di kaki lima Bandar Teknologi Kajang, Semenyih ini pernah menyarung jaket putih sebagai seorang doktor.
Arjanggi Farizal pernah mengecapi kejayaan di menara gading sehingga bergelar seorang doktor perubatan sebelum memulakan perniagaan Pondok Minang, yang menjual sekitar 50 jenis lauk-pauk masakan Minang.
Terbitnya minat terhadap berniaga ketika alam persekolahan, di mana Arjanggi sering mengikuti ibunya berniaga selepas tamat waktu persekolahan.
“Minat berniaga itu dah memang sebati dengan diri saya,” katanya ketika ditemui Maskulin
.Arjanggi dahulunya bertugas sebagai seorang doktor paru-paru namun demi mengejar minatnya terhadap dunia perniagaan, dia memutuskan untuk meninggalkan kerjaya itu.
Ujarnya, agak sukar keputusannya itu untuk diterima oleh keluarganya pada mulanya.
“Pengorbanan orang tua kan, dengan kos yang tinggi nak sekolahkan anak dia. Tapi tiba-tiba anak dia memilih untuk berniaga di tepi jalan.
“Awal-awal itu memang ada penolakan juga, tapi sekarang ini Alhamdulillah semua dah terima dah,” kongsinya.
Arjanggi tidak menafikan ada perbezaan dari segi pendapatan melalui berniaga berbanding ketika bertugas sebagai doktor dahulu.
Bagaimanapun, Arjanggi lebih gemar dengan keadaan ini kerana ketenangan yang dikecapinya.
“Pada hakikatnya saya lebih tenang macam ini. Mungkin dari segi kewangan memang banyak ujian dia.
“Mana-mana perniagaan memang banyak pahit manis dia. Tapi yang penting kita seronok, hati kita senang,” jelasnya lagi.
Bercerita mengenai titik permulaan perniagaan masakan Minang ini, Arjanggi memberitahu idea ini tercetus daripada isterinya yang menggemari masakan itu.
Isterinya dahulu bertugas sebagai pramugari syarikat penerbangan Emirates selama kira-kira lima tahun, namun berhenti bertugas sementara setelah terselamat dari kejadian kemalangan pesawat EK521 pada 2016.
“Alhamdulillah, isteri saya selamat daripada kejadian itu. Jadi dia berehat dahulu daripada bertugas dan dia yang beri idea untuk buka perniagaan masakan Padang”.
Walaupun berketurunan Minang, Arjanggi mengakui pada mulanya dia sendiri tidak menguasai cara memasak masakan tersebut.
Oleh itu, dia berusaha untuk mempelajari masakan itu melalui ibunya dan gigih berusaha memastikan perniagaan ini mampu menjadi sumber rezeki terbaik bagi menampung kehidupan isteri dan keluarganya.
“Kalau awak tak nak jadi lelaki, biar saya jadi lelaki,” itulah kata-kata isterinya yang menguatkan semangatnya untuk terus berniaga sehingga kini dan terus berjuang menjadi seorang lelaki sejati.
BACA: Dari Penganalisis Kewangan Ke Pencipta Kartun, CJ See Bangkit Selepas Krisis Kewangan Asia 1997