Tepat jam 12 malam, pasti wajahnya sering terpampang di kaca televisyen bagi siaran berita tengah malam berbahasa Inggeris terbitan TV3, Nightline selama bertahun-tahun lamanya.
Namun kini, wajah dan suara emas milik Raymond Goh tidak lagi akan ke udara buat selama-lamanya.
Rakyat Malaysia berduka cita semalam diatas pemergiannya, seorang lagi figura ternama dalam dunia penyiaran tanah air.
Memetik laporan Buletin TV3, Allahyarham yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 27 Mei 1961 itu telah memulakan kerjaya di bidang penyiaran sebagai penyampai berita di Seven O’Clock News sebelum beralih ke Nightline.
Perkhidmatannya di bidang itu telah pun mencecah lebih 30 tahun, manakan tidak wajah dan suara emasnya begitu dikenali dan dianggap sebagai legenda bagi penonton.
Pada 31 Mac 2003, Allahyarham telah memeluk agama Islam dan menggunakan nama Muhammad Zaman Goh Abdullah.
Allahyarham dilihat bersiaran buat kali terakhir di Nightline pada 24 Ogos lalu.
Allayarham juga merupakan antara barisan penyampai berita kumpulan pertama di TV3, demikian menurut bekas penyampai berita TV3, Datuk Ras Adiba Radzi.
Ras Adiba yang telah bersahabat dengan Allahyarham sejak tahun 1986 itu menyifatkan pemergian Raymond begitu terkesan dihatinya, apatah lagi selepas pemergian sahabat seperjuangan yang lain seperti Robert Lam, Mahadzir Lokman dan Amin Mahir.
Dalam pada itu, Allahyarham juga disifatkan sebagai seorang yang berdedikasi di dalam kerjaya, demikian lapor Berita Harian.
Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Azhari Muhidin berkata yang Allahyarham banyak menyumbang untuk membantu generasi atau pelapis baharu dengan mendidik serta mengajar kaedah penyampaian berita.
Bekas penyampai berita, Zahir Kelvin Ong juga memberitahu yang Allahyarham merupakan mentornya ketika beliau menyertai stesen penyiaran berkenaan.
Selain itu, Allahyarham juga sering tiba lebih awal untuk meneliti kandungan berita yang akan dibaca sebelum bersiaran.
Pada 30 Ogos lalu, media melaporkan penyampai berita bersuara emas itu dimasukkan ke Hospital Assunta, Petaling Jaya dan sedang kritikal akibat diserang angin ahmar.
Menurut penerbit Nightline, Amelia Nadia Azaharul Nahar, Allahyarham mula merasa kebas pada bahagian kanan badannya ketika sedang minum bersama rakan-rakan, demikian lapor Berita Harian.
Susulan itu, Allahyarham langsung memandu sendirian ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan disahkan kritikal selepas membuat imbasan CT, lalu ditidurkan.
Setelah hampir dua minggu bertarung dengan penyakit itu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 12 September 2023, kira-kira jam 10.43 pagi.
Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail pada jam 4.45 petang sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada jam 5.25 petang hari yang sama.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Faridah Teh dan seorang anak tiri dikenali sebagai Fendi.
@maskulinmy Sentiasa berkongsi tentang pengalaman membesarkan anak autism, Dr Say Shazril kini menjadi di antara pempengaruh yang berusaha memberikan kesedaran kepada umum. Ikuti temubual bersama Dr Say yang ingin terus berusaha memberikan kesedaran positif. #maskulin #majalahmaskulin #inspirasi #maskulininspirasi #drsayshazril #drsay #malaysia #fyp #autismawareness #autismMalaysia #asd ♬ original sound – Maskulin