Serba tak kena jadinya bila mata kita diserang ketumbit. Bercampur-campur rasanya sekejap gatal sekejap pedih. Sedih pun ada bila orang sekeliling asyik mengusik dan kata yang bukan-bukan.
Menurut laman web kesihatan WebMD, terdapat dua jenis ketumbit yang biasa terjadi iaitu:
Stye: Jangkitan kuman yang berpunca pada akar bulu mata (folikel). Ketumbit jenis ini berlaku di pinggir kelopak mata. Jika ia terdapat di dalam kelopak mata, ia digelar hordeolum dan ia berpunca daripada jangkitan kuman pada kelenjar minyak dalam kelopak mata. Ketumbit jenis ini adalah agak menyakitkan, tetapi ia cepat sembuh dalam masa seminggu.
Chalazion: Timbulnya sejenis benjolan pada kelopak mata. Biasanya ia lebih besar berbanding ‘stye’ tetapi ia tidak menyakitkan. Ia adalah keradangan yang disebabkan oleh penyumbatan pada kelenjar. Dalam sesetengah kes, ‘stye’ boleh menjadi ‘chalazion’. Ketumbit jenis ini boleh berlanjutan hingga sebulan atau lebih. Apabila seseorang mengalami ketumbit, ia akan turut diiringi dengan gejala lain seperti mata berair, gatal, sensitif, dan bengkak atau kemerahan pada kelopak mata. Namun anda tak perlu risau kerana ia tidak merbahaya dan tidak mudah berjangkit.
Lazimnya, ketumbit boleh pulih dengan sendirinya. Ada beberapa cara menghilangkan ketumbit yang boleh anda lakukan di rumah. jenis ketumbit, punca ketumbit, cara rawat ketumbit, petua hilangkan ketumbit, petua rawat ketumbit, Stye (kiri) dan Chalazion (kanan)
Berikut adalah cara menghilangkan ketumbit yang boleh dicuba:
Langkah pertama yang boleh anda lakukan apabila terkena ketumbit adalah dengan membersihkan bahagian kelopak mata dengan kerap menggunakan air bersih. Untuk penjagaan kebersihan yang lebih rapi, anda boleh menggunakan putik kapas dan ‘mild shampoo’ seperti syampu bayi yang tidak memedihkan untuk membersihkan kelopak mata anda dan bahagian bulu mata sekitarnya.
Cara paling selamat dan berkesan untuk melegakan ketumbit adalah dengan tuaman air yang sederhana panas. Cara ini juga amat sesuai untuk kanak-kanak dan juga bayi. Rendamkan kain dalam air suam dan kompreskan pada kelopak mata yang terkena ketumbit tadi untuk mengatasi penyumbatan pada kelenjar di kelopak mata. Ulangi langkah ini sebanyak tiga kali sehari selama seminggu. Pastikan kain yang anda gunakan bersih ya.
Selain menggunakan tuaman air panas tadi, anda juga boleh menggunakan sudu untuk dituam pada mata. Caranya, rendamkan sudu tadi dalam air suam dan rasa kepanasannya agar tidak terlalu panas. Agak-agak selesa, bolehlah dituamkan pada bahagian mata yang terkena ketumbit tadi. Tuamkan sekitar 3 minit setiap kali.
Selain menuam dengan air panas, anda boleh cuba menuam mata dengan uncang teh hijau. Selain melegakan rasa tidak selesa, teh hijau mengandungi asid tanik yang membantu melindungi daripada jangkitan. Caranya, rendamkan uncang teh hijau ke dalam air panas. Selepas 5 minit, angkat dan keluarkan lebihan air pada uncang teh. Jika ia terlalu panas, tunggu sebentar sebelum meletakkannya pada mata. Bila suhunya sesuai, biarkan pada mata selama 5 minit. Lakukan beberapa kali sehari.
Ambil beberapa helai daun sirih dan bersihkan. Kemudian, panaskan sedikit di atas api atau badan cerek dan tekapkan pada mata ketumbit. Satu lagi cara, rebuskan daun sirih hingga mendidih. Angkat daun sirih tersebut dan perah untuk mendapatkan airnya. Guna air perahan ini untuk membersihkan mata yang ketumbit.
Satu lagi petua yang dikatakan dapat menyurutkan ketumbit dengan cepat adalah dengan menambahkan garam pada tuaman.
Mudah saja, bubuhkan sedikit garam pada air panas / suam yang akan digunakan untuk tuaman. Selepas ia melarut, celupkan tuala bersih dan perah airnya. Boleh juga gunakan kapas. Tuamkan 2-3 minit pada ketumbit. Lakukan 3 atau 4 kali sehari.
Selain garam, anda boleh juga cuba menggunakan cuka epal (apple cider vinegar) dengan cara yang sama. Namun, elak menggunakan cuka kepada kanak-kanak kerana ia agak ‘kuat’. Pastikan cuka epal ini dilarutkan terlebih dahulu supaya asidnya tidak terlalu kuat.
Selain itu, bagi orang dewasa, anda boleh meminum sesudu cuka epal yang dilarutkan dalam air suam untuk mendapatkan hasil yang lebih berkesan.
Antara cara menghilangkan ketumbit paling popular di kalangan orang lama adalah menggunakan bawang putih kerana ia dipercayai mengandungi ciri anti radang. Namun, cara ini akan memedihkan sedikit. Maka, tidak sesuai kalau dilakukan pada kanak-kanak.
Caranya, ambil seulas bawang putih dan guris sedikit bahagian hujungnya dengan pisau agar keluar jusnya. Sapukan pada kelopak mata yang berketumbit sebanyak 3 kali sehari. Ia dikatakan berkesan sekiranya bengkak ketumbit baru nak ‘naik’ dan belum membesar. Apa pun, berhati-hatilah dan pastikan kebersihan tetap diutamakan.
Jika ia masih berlarutan, pastikan anda mendapatkan ubat krim antibiotik di farmasi atau klinik terutamanya jika anak kecil menunjukkan ketidakselesaan. Yang penting, jangan cuba pecahkan ketumbit ini sendiri kerana ia boleh menyebabkan jangkitan merebak. Sementara itu, elakkan memakai sebarang ‘make-up’ pada bahagian mata atau ‘contact lense’ kerana ia boleh menyebabkan jangkitan bertambah teruk.