Rambut Panjang ‘Is The New Cool’ Sepanjang PKP, Ikuti Tip Penjagaan Terbaik

Share

Kita semua sudah sedia maklum bahawa Perintah Kawalan Pergerakan kini dilanjutkan lagi sehingga 28 April 2020. Ini bermakna, bermula 18 Mac yang lalu kita bakal mengharungi kira-kira 40 hari pengasingan di dalam rumah untuk menjayakan misi negara memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Dalam ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan lanjutan tersebut, beliau turut mengumumkan bahawa beberapa industri dan perniagaan akan dibenar beroperasi. Salah satunya ialah kedai gunting rambut.

Namun sejak dua hari lalu ramai pihak tidak bersetuju kedai gunting rambut dibuka semula kerana risau ia boleh menjadi lokasi penyebaran virus merbahaya ini.

Bagi MASKULIN usahlah kita terlalu ghairah nak pergi ke kedai gunting rambut. Utamakan keselamatan diri sendiri dulu. Kita percaya kerajaan akan mengambil langkah yang sepatutnya dalam masa yang terdekat.

MASKULIN ingin menyarankan agar lelaki semua simpanlah rambut menjadi panjang. Apalah sangat rambut panjang sekali-sekala. Lagipun imej berambut panjang juga boleh menyerlahkan sisi kelelakian seseorang.

Bagi anda yang rambutnya sudah mula panjang, MASKULIN ingin kongsi beberapa tip menarik tentang bagaimana untuk menjaganya.

PANJANG & KEMAS

Memiliki rambut panjang tidak semestinya harus sentiasa tampil serabai dan nampak bercelaru. Ada banyak teknik untuk buat rambut panjang nampak kemas dan tersusun rapi. Sebagai contoh menggunakan getah rambut dan ikat gaya man-bun. Tapi elak guna getah pengikat makanan ya, itu memang tercabut habis nanti rambut anda.

BASUH DENGAN BAIK

Mencuci rambut dengan baik tidak perlu pergi ke kedai rambut atau salun. Apatah lagi sepanjang tempoh PKP ini. Bagi anda yang sudah berumah tangga, boleh minta pertolongan isteri melakukan cucian rambut. Atau boleh sahaja lakukan sendiri. Gunakan syampu dan perapi mengikut jenis rambut anda bagi kesan yang lebih baik.

USAH SENTAL

Ramai lelaki yang berambut panjang suka menyental rambut dengan tuala selepas mandi. Sentalan itu pula dilakukan dengan kuat dan sepenuh hati. Ia akan mersoakkan rambut dan menjadi bercabang bila ia sudah semakin panjang.

ELAK PENGERING RAMBUT

Menggunakan pengering rambut elektrik juga menjadi punca utama rambut panjang mudah rosak. Haba yang tinggi digunakan ke atas rambut boleh menyebabkan rambut menjadi rapu dan mudah putus dalam jangka masa panjang.

CARA TERBAIK KERINGKAN RAMBUT

Langkah terbaik mengeringkan rambut adalah hanya menggunakan tuala dan lap sahaja dengan lembut. Atau biarkan ia kering secara semualjadi dalam ruang mempunyai angin.

Published by
Farizul Izwany