Satu hakikat yang tidak boleh kita nafikan, jenama Proton cukup dekat di hati rakyat Malaysia. Walau apa jua kritikan yang selama ini mereka berikan kepada Proton, itu sebenarnya luahan rasa sayang mereka terhadap jenama automotif negara tersebut.
Setiap model yang diperkenalkan pasti mendapat perhatian yang cukup besar sama ada di showroom, laman media sosial dan juga media-media arus perdana. Di antara model yang paling ditunggu-tunggu ialah Proton X50.
Sejak ia mula diumumkan pada tahun 2018 ramai rakyat Malaysia sangat teruja dan tidak sabar menantikan kehadiran Proton X50. Pasaran kenderaan SUV kompak juga turut menjadi semakin popular dan ia sedikit sebanyak menyumbang terhadap keterujaan itu.
Lebih menarik lagi, sebelum ini telah tular apabila ia dilihat dipandu uji di aras jalan raya sejak September yang lalu. Keterujaan tersebut kini semakin memuncak selepas tularnya di laman media sosial foto memaparkan senarai harga Proton X50 di atas jalan raya tanpa insuran.
Foto khabar angin yang tular tersebut memaparkan harga Proton X50 bermula pada RM75,800 dengan model spesifikasi paling tinggi pula pada harga RM103,800.
Jika dibandingkan di pasaran harga yang dinyatakan menerusi foto tersebut ternyata jauh lebih rendah berbanding jenama pesaing yang lain. Setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi dari pihak Proton. Peminatnya seakan sudah tidak sabar menantikan kemunculan Proton X50, begitu juga MASKULIN!