Ramai Lelaki Percaya Istilah ‘Garam Sihat’ Sebenarnya Ia Merangsang Penyakit Secara Senyap

Share

Kita sering mendengar gesaan untuk mengurangkan pengambilan gula dan garam dalam diet seharian. Jika gula sering dikaitkan dengan penyakit kencing manis, pengambilan garam berlebihan pula terbukti boleh merangsang masalah tekanan darah tinggi. Hipertensi atau tekanan darah tinggi antara penyakit senyap yang boleh membunuh kerana ia mampu menimbulkan pelbagai masalah kesihatan lain tanpa tanda amaran. Ramai tidak sedar mereka mengalami tekanan darah tinggi. Walaupun ia boleh diketahui melalui pemeriksaan mudah yang mengambil masa beberapa minit, ramai tidak menganggapnya sebagai perkara penting.

Kebanyakan kita  mengambil garam melebihi apa yang diperlukan? Kajian Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan penduduk Malaysia mengambil 8.7 gram garam sehari. Ia adalah 1.7 kali lebih tinggi daripada lima gram garam sehari yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tekanan darah tinggi adalah faktor terbesar me­nyumbang kepada kematian pramatang iaitu mati pada usia yang lebih muda. Kebarangkalian mereka yang meninggal dunia berusia antara 30 hingga 70 tahun daripada empat penyakit tidak berjangkit utama (NCD) iaitu diabetes, kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik dan kanser adalah kira-kira 20 peratus. Sodium biasanya terdapat dalam garam, tetapi ia juga boleh didapati dalam penambah rasa, makanan proses serta makanan dalam tin.

Salah satu cara untuk mengurang­kan pengambilan natrium adalah dengan memakan makanan segar dan mengurangkan penggunaan garam. Memeriksa label makanan antara cara lain untuk mengetahui dan membandingkan tahap natrium dalam makanan. Garam dan bahan penambah rasa boleh digantikan dengan perisa semula jadi seperti herba dan rempah-ratus. Selain itu, tiada istilah garam ‘sihat’ kerana kebanyakan­nya mempunyai kandungan sodium yang sama. 

Orang dewasa disaran mengambil tidak lebih daripada satu sudu kecil garam sehari bersamaan dengan 5 g garam atau 2,000 mg natrium mengikut panduan pengambilan garam yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2012. Jumlah ini merangkumi natrium yang wujud secara semula jadi dalam makanan dan juga yang ditambah sewaktu pemprosesan atau memasak makanan.

“Walaupun garam penting untuk metabolisme tubuh, pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi. Penyakit terbabit juga adalah faktor risiko mendapat strok, serangan jantung, kegagalan jantung, buta dan kegagalan buah pinggang,”

“Mengurangkan pengambilan natrium boleh menurunkan tekanan darah dan merendahkan risiko penyakit. Penambah rasa juga bukan saja mengenakkan makanan, malah ia murah. Pengurangan natrium jangan sampai tidak ambil langsung kerana boleh mengakibatkan masalah hyponatremia.

“Hyponatremia adalah tahap garam dalam darah terlalu rendah sedangkan garam adalah elektrolit yang membantu kawalan jumlah air dalam sel tubuh. Akibatnya, pesakit akan berasa loya dan muntah, sakit kepala, keliru, tidak bertenaga, otot kejang, sawan dan koma,”

Published by
Kim Rahim