Pandemik Covid-19 nampaknya masih lagi mengganas di negara kita. Jumlah kes yang dicatatkan sejak seminggu lalu benar-benar memberikan saty gambaran bahawa kita kini berada dalam kondisi cukup kritikal. Kes kematian pula saban hari memecahkan rekod.
Namun ada sinar di sebalik ujian ini dengan kadar pemberian vaksin yang sangat memberangsangkan. Malah, negara kita di antara yang mencatatkan pemberian dos vaksin tertinggi di dunia. Selain mencapai imunisasi kelompok dengan pantas, cara terbaik tangani Covid-19 ialah melakukan ujian pengesanan awal.
Jika selama ini kita perlu melakukan ujian Covid-19 di pusat-pusat kesihatan kerajaan atau swasta, selepas ini kita boleh melakukkan ujian sendiri di rumah. Ia berikutan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) mengeluarkan senarai dua jenis kit kendiri ujian COVID-19 yang telah diluluskan.
Perkara tersebut diumumkan semalam oleh KKM dengan menyenaraikan dua kit ujian yang boleh didapati dalam masa terdekat di farmasi komuniti berdaftar atau dasiliti kesihatan. Dua kita ujian tersebut ialah Salixium COVID-19 Rapid Antigen Rapid Test dan Gmate COVID-19 Ag Saliva for Home Use.
Kit Salixium COVID-19 digunakan bagi tujuan sampel pengesanan RTK-antigen (self test) saliva dan nasal swab samples (sampel air liur dan dari hidung), manakala kit Gmate(R) COVID-19 bagi tujuan RTK-antigen (self test) saliva sample (sampel air liur).
Menurut KKM lagi, senarai itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan ia boleh juga disemak menerusi portal MDA. Perkembangan terbaru ini merupakan satu berita baik untuk kita semua dalam langkah mencegah penularan wabak ini dari terus berleluasa apatah lagi dengan kemunculan varian baharu yang lebih radikal seperti Varian Delta.
Harapannya agar kit ujian ini boleh didapati dengan mudah di pasaran dan dijual kepada pengguna pada harga yang berpatutan dan tidak membebankan. Sementara itu, mainkanlah peranan kita dengan mematuhi SOP sebaiknya. Keluar rumah hanya bila perlu sahaja, pakai pelitup muka dengan baik, jaga penjarakan sosial dan sentiasa mengamalkan cuci tangan setiap masa.
Kita harus menang!