Pastinya zuriat merupakan satu anugerah dari Allah SWT yang paling dinanti-nantikan oleh mereka yang sudah mendirikan rumah tangga. Menyambut kelahiran zuriat itu merupakan momen yang seronok untuk dikongsikan kepada umum terutamanya mereka yang bergelar selebriti. Tidak salah sebenarnya untuk merakam detik-detik indah anda bersama pasangan apabila menyambut kelahiran, namun ia hendaklah berbatas.
Pihak Maskulin ada bertanyakan isu ini kepada salah seorang pengawai perubatan Hospital Kerajaan iaitu Dr. Izzaty (bukan nama sebenar), beliau yang pernah berkhidmat di wad bersalin telah banyak menyambut nyawa baru dan beliau akur bahawa momen itu merupakan momen yang tidak dapat dilupakan oleh setiap pasangan. Oleh kerana beliau merupakan doktor dari Hospital kerajaan, antara peraturan ketika bersalin ialah pasangan tidak boleh membawa masuk alat rakaman sehingga proses sambut bayi selesai. Namun, jika mereka ingin mendapat kemudahan itu, maka pasangan disarankan untuk ke hospital Swasta.
“Bagi saya ia terpulang kepada individu asalkan mereka tidak dedahkan alat kemaluan dan aurat wanita yang berhijab. Kami sebagai doktor tidak mempunyai masalah untuk mereka merakam detik-detik indah bersama yang tersayang asalkan tidak membuka aib mana-mana pihak, bergantung kepada hospital.”
Alif Satar juga meluahkan perasaan berbeza apabila ditemu ramah sewaktu majlis sidang media praduan senang jer menang Power Root. Beliau sendiri menceritakan detik indah apabila beliau sendiri berpeluang menyambut bayi pertamanya yang diberi nama Alisha Anugerah. Momen itu memang tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini. Mana tidaknya, Doktor sendiri memuji Alif yang tidak gentar ketika memegang bayi yang lembut itu.
Sumber:IG Alif Satar
“Bagi saya, tak salah nak rakam momen-momen indah tu, cuma rakaman itu hanya sesuai untuk tatapan sendiri dan keluarga sajalah. Ia lebih baik begitu dari beri semua orang tengok video tersebut. Setiap yang dilalui oleh wanita ketika dalam keadaan sakit itu harus diberi keutamaan dari segi pakaiannya, sakit yang dilaluinya. Mungkin isteri tak mahu bersuara atau telah bersetuju kerana patuh pada suami. Kita ni sebagai suami harus tahu sensitiviti walaupun kita ni kurang bijak. It’s common sense
. Saya sendiri pun, setelah anak dibalut dan sudah berada di dada isteri, baru saya bergambar. Sensitiviti itu harus di jaga.”Jadi para suami, tak salah jika anda mahu rakam detik-detik indah anda bersama tercinta walau dalam apa kondisi pun, namun biarlah ia bersesuaian dengan masyarakat, dan menjaga aib keluarga anda.