Nampaknya model YZF-R15 tertangkap basah. Bukan kerana melakukan maksiat (sekadar bergurau) tetapi dilihat sedang berlegar sekitar Sungai Buloh, Selangor.
Model tersebut kini melalui fasa ‘running test’ oleh pihak penyelidikan dan pembangunan (R&D) Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).
Susulan tersebarnya imej tersebut menjadi petanda R15 akan berada di dalam senarai produk baharu yang bakal dilancarkan ke pasaran tempatan.
Selepas menerima imej spyshot berkenaan, penulis langsung bertanyakan kepada sumber terdekat di HLYM. Jawapannya ringkas iaitu ‘tunggu’. Penulis sendiri sudah faham dengan tingkah laku sumber, selagi model tersebut tidak bersedia untuk dilancarkan- beliau akan mengunci mulut.
Tetapi berdasarkan balasan menerusi Whatsapp itu sudah jelas bahawa R15 akan berada di bawah senarai produk baru HLYM. Cuma model berkenaan masih lagi menjalani ujian tunggangan secara maksimum agar sesuai dengan cuaca dan keadaan jalan di Malaysia sebelum sedia berada di pasaran.
Justeru itu, peminat dua roda tempatan perlu menunggu. Bagaimanapun risikan penulis tidak terhenti di situ dan dilanjutkan ke jabatan VTA (Pengesahan Jenis Kenderaan-Vehicle Type Approval), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Menurut pihak VTA buat masa ini mereka masih belum menerima dokumen R15 untuk pemeriksaan.
Sementara menunggu kesahihan waktu pelancaran dan model akhir R15 siap di pasarkan, jom lihat dahulu perincian ringkas YZF-R15.
Untuk makluman pembaca, YZF-R15 sudah pun berada di pasaran Indonesia awal tahun ini. Model berkenaan tampil dengan rupa lebih segar dan teknologi kejuruteraan canggih.
Berikut perkara utama perlu anda ketahui tentang Yamaha YZF-R15:
Yamaha YZF-R15 dilengkapi enjin 155.1cc SOHC penyejukkan cecair yang mampu menghasilkan kuasa 19.4hp pada 10,000rpm dan tork 14.7Nm pada 8,500rpm. Jentera berkenaan sedikit berkuasa berbanding sebelumnya dengan pertambahan 2.28hp. R15 turut menggunakan sistem VVA yang terbukti cekap pada model seperti NMax dan Aerox.
Penghantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi kotak gear 6-kelajuan dengan klac sliper.
Menggunakan rangka Deltabox, Yamaha R15 mengetengah konsep rekaan daripada siri-R. Tampil garang dan langsing menerusi reka bentuk fairing ramping yang mengetengahkan konsep berbilang lapis. Lampu depan dan belakang LED kini dilengkapi dengan lampu hazard yang menjadikan motor terlihat agresif selain boleh digunakan saat kecemasan.
Berat R15 bertambah 1kg, menjadikan berat keseluruhan 137kg.
Racing Blue (biru), Matt Black (hitam) dan Matt Red (merah).
Di Indonesia, Yamaha YZF-R15 dijual pada harga Rp34, 500, 000 (RM11, 040) seunit.
ENJIN: Penyejukan cecair, 4-lejang, SOHC, 4-injap, suntikan bahan api (Fi), silinder tunggal, petrol
SESARAN: 155.1cc
TRANSMISI: 6-kelajuan, klac multiplat jenis basah
CASIS: Rangka Delta box
KUASA MAKSIMUM: 19.04hp @ 10,000rpm
TORK MAKSIMUM: 14.7Nm @ 8,500rpm
PANJANG x LEBAR x TINGGI: 1,990mm x 725mm x 1,135mm
TINGGI PELANA: 815 mm
JARAK RODA: 1,325 mm
BERAT: 137 kg
TANGKI: 11 Liter
TAYAR & RODA: 100/80-17M/C 52P (depan); 140/70-17M/C 66S (belakang); 17-inci, rim aloi, tubeless
BREK: Cakera tunggal 282mm (depan); Cakera tunggal 240mm (belakang)
SUSPENSI: Teleskopik terbalik (USD) (depan); Link Monoshock (belakang)
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=oIqAMD89_GE[/embedyt]
Kredit Foto Spyshot: Haziq Faris