Pusat Racun Negara Sahkan Kad Kesihatan Berisi Gas Chlorine Dioxide Tak Berkesan Cegah Covid-19!

Share

Baru-baru ini, tular tentang kad kesihatan (health tag) yang kononnya dikatakan boleh mencegah jangkitan virus dan bakteria melalui pembebasan gas Chlorine Dioxide di sekitar si pemakai.

Menurut perkongsian Pusat Racun Negara di laman Facebooknya, tiada kesan pembasmian virus yang akan berlaku kepada si pemakai sekiranya dia menggantungkan kad kesihatan (health tag) ini.

Malah, pemakaian kad kesihatan (health tag) ini juga adalah tidak berkesan untuk mencegah jangkitan kuman atau virus sedia ada, apatah lagi jangkitan COVID-19.

Oleh itu, janganlah mudah terpengaruh!

‘HEALTH TAG’ BOLEH CEGAH WABAK COVID-19?

Belum pun sempat isu penggunaan herba daun semambu untuk rawatan COVID 19 reda, timbul pula dakwaan kaedah pencegahan baru. Kali ini melibatkan produk moden pula iaitu kad gantung di baju (‘health tag’) yang mengandungi bahan kimia Chlorine Dioxide.

Produk yang kini VIRAL dan laris penjualannya melalui atas talian ini kononnya bertindak mencegah jangkitan virus dan bakteria melalui pembebasan gas Chlorine Dioxide di sekitar pemakainya.
Benarkah begitu?

Satu kajian khusus tentang keberkesanan produk seumpama ini telah dijalankan dan diterbitkan melalui artikel “Hidekazu NISHIMURA, Investigation on Practical Usefulness of Body-worn Devices that Claim to Release Chlorine Dioxide. Japanese Journal of Environmental Infections 32(4):222-226. July 2017.

Hasil daripada kajian ini mendapati:

1. Tiada kesan pembasmian kuman atau virus yang berlaku
2. Gas yang dibebaskan adalah sangat rendah atau tidak dapat dikesan langsung

Dapatan ini menunjukkan pemakaian ‘health tag’ adalah TIDAK BERKESAN untuk mencegah jangkitan kuman atau virus sedia ada apatah lagi COVID-19.

Chlorine Dioxide merupakan gas yang bersifat merengsa terutama kepada saluran pernafasan bergantung kepada kuantiti dan kepekatan gas yang terdedah.

Apa yang lebih dibimbangi adalah kepercayaan pengguna terhadap produk ini akan menyebabkan mereka merasakan selamat dan dilindungi daripada jangkitan. Akibatnya pemakai mungkin akan bersikap kurang berhati-hati dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan yang terbukti berkesan seperti kerap membasuh tangan dan penjarakan sosial.

Published by
Roselinda